Anda di sini

Kekukuhan perpaduan masyarakat di rumah panjang harus diteruskan

Advertisement

RASMI: Dennis (berdiri, tiga kiri) memukul gong merasmikan pelancaran Koperasi Wawasan Peladang Kampung Long Pilah, Baram.

MIRI: Kekukuhan perpaduan masyarakat di rumah-rumah panjang harus diteruskan serta dihidupkan semula untuk membangkitkan semangat kesatuan antara penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata ia dapat dipupuk dan bermula melalui pelaburan sihat dalam sesebuah koperasi yang diwujudkan di kampung atau di rumah panjang.

“Saya terharu apabila melihat anak jati Long Pilah sendiri yang berkorban masa dan berusaha menubuhkan koperasi untuk kampung mereka,” katanya pada perasmian Koperasi Wawasan Peladang Kampung Long Pilah, Baram.

Menurutnya, ini adalah contoh terbaik dan harus diikuti kampung-kampung lain di kawasan pedalaman seperti Telang Usan dan Baram.

“Melalui koperasi ini, kita dapat meningkatkan pendapatan pada masa depan dengan pelaburan yang bijak,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Dennis berkata tiada perniagaan dan mana-mana koperasi dapat menjanjikan keuntungan lumayan jika tidak ada usaha dan percubaan seperti itu.

Beliau berharap masa depan semua penduduk tercapai melalui penubuhan dan pengalaman para ahli lembaga.

Dennis berkata, beliau tidak mahu melihat penubuhan koperasi itu hanya sia-sia dan tidak mendatangkan apa-apa kebaikan dan manfaat pada masa depan.

“Sifat amanah dan kejujuran sangat penting dalam penubuhan koperasi dan menentukan kejayaannya,” tambah beliau.

Sementara itu, pengerusi koperasi berkenaan Mering Wan berkata tujuan koperasi itu adalah memberi pendapatan lebih kepada ahli-ahlinya dengan melibatkan diri dalam bidang tanaman kelapa sawit, getah serta ekopelancongan yang menjadi kelebihan di kawasan tersebut.

Koperasi itu kini mempunyai lebih 232 keahlian sejak penubuhannya pada 12 Ogos 2014.

Pegawai Koperasi Baram Mohamad Jelian turut memberitahu, kini daerah itu mempunyai 44 koperasi dan menunjukkan peningkatan.

Pada majlis sama, Dennis menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada koperasi itu sejumlah RM8,000 manakala RM10,000 masing-masing kepada gereja Sidang Injil Borneo (BEM) dan Roman Katolik serta biro wanita kedua-dua gereja masing-masing sejumlah RM5,000.

Turut hadir Kaunselor Majlis Daerah Marudi Jau Eng Aran dan Jok Ngau serta Penasihat Koperasi Daniel Jok Wan, ahli lembaga koperasi, ahli-ahli koperasi dan penduduk kampung.

 

Advertisement