Anda di sini

Gelaran Gabenor, Yang di-Pertua Negeri tiada beza

Advertisement

KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar semalam menjelaskan tidak terdapat perbezaan bagi gelaran Gabenor dan Yang di-Pertua Negeri di Sarawak.

Menurut beliau, secara sejarahnya rakyat di negeri ini telah mengetahui dan sudah biasa dengan gelaran tersebut (Gabenor) sejak dahulu lagi.

“Saya selalu menggunakan gelaran Gabenor kerana rakyat Sarawak secara sejarahnya sudah tahu dan biasa dengan gelaran tersebut.

“Dan memandangkan kita berada di DUN, penggunaan gelaran Yang Dipertua Dewan dan Yang di-Pertua Negeri kadang-kadang boleh menimbulkan kekeliruan.

“Oleh itu, apabila saya menyebut Gabenor, tiada sebarang kekeliruan timbul antara kedua-duanya,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-17 di Petra Jaya di sini, semalam.

Dalam pada itu, Asfia turut menjelaskan ke-adaan sama bagi gelaran Yang Dipertua Dewan dan Speaker.

“Tetapi sebaiknya adalah Speaker kerana seluruh negara Komanwel mengamalkan gelaran yang sama.

“Di Sarawak, kita lebih menggunakan Speaker dan untuk ketua negeri kita lebih biasa dengan istilah Gabenor. Dan apabila ber-ada di DUN pula, tiada sebarang kekeliruan timbul daripadanya bebanding penggunaan Yang Dipertua Dewan dan Yang di-pertua Negeri.

“Sebab itulah saya menggunakan perkataan tersebut (Gabenor). Lagipun, perkataan tersebut lebih berpengaruh dan tiada perbezaan mengenainya cuma panggilan,” terang Asfia.

Dalam perkembangan lain, Asfia menjelaskan bahawa DUN memberi kelonggaran kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak menggunakan pakaian istiadat khas.

“Sekiranya boleh kita sememangnya inginkan semua ahli menggunakan pakaian rasmi adat istiadat, tetapi sekiranya ada yang tidak mahu kita benarkan dan berikan kelonggaran untuk mereka menggunakan sut sahaja,” jelasnya.

 

Advertisement