Anda di sini

Forum kukuh bahasa kebangsaan di sekolah Cina

Advertisement

TAHNIAH: Dr Hazami (dua kiri), Tiong, (empat kiri) Tay, Dr Sabarudin bersama pemenang Pertandingan Forum Sekolah Menengah Swasta Cina Peringkat Negeri 2015 di Sibu semalam.

SIBU: Forum Sekolah Menengah Swasta Cina Peringkat Negeri 2015 mampu menjadi pemangkin mengukuhkan perkembangan bahasa kebangsaan di sekolah terbabit.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King berkata forum tersebut wujud di sekolah-sekolah menengah swasta dalam sektor pendidikan sejak 1992.

Beliau berkata, forum itu juga dapat membantu meningkatkan kemahiran komunikasi dan kefasihan berucap di kalangan pelajar sekolah menengah swasta Cina di negeri ini.

“Pertandingan forum ini adalah projek ditetapkan keutamaannya untuk mengukuhkan bahasa Malaysia,” katanya pada penutupan forum tersebut di Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) di sini semalam.

Katanya sebagai penghargaan kepada bahasa kebangsaan, ia akan memupuk semangat patriotisme kepada negara.

Tiong berkata, selaras dengan konsep 1Malaysia peranan bahasa kebangsaan sangat relevan dalam konteks perpaduan secara keseluruhannya.

“Usaha membangunkan bahasa Malaysia bukan tanggungjawab Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sahaja tetapi melibatkan semua jabatan kerajaan, institusi swasta dan masyarakat,” jelasnya.

Sementara itu, Tiong yang merupakan pengerusi Persatuan Sekolah Swasta Cina (CPSA) menggesa kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu sebagai salah satu kelayakan memohon institusi pengajian tinggi dan institut pendidikan guru.

Mengenai persaingan forum itu, beliau berharap para pemenang meneruskan usaha mereka melakukan yang lebih baik.

Forum itu dikendalikan bersama oleh DBP Cawangan Sarawak, CPSA, UCTS dan Sekolah Tinggi Katolik.

“Mereka yang kalah dalam pertandingan harus menerima kekalahan dan cuba memperbaiki kelemahan mereka pada masa akan datang,” katanya.

Pemenang akan mewakili Sarawak pada forum peringkat kebangsaan.

Sekolah Menengah Chung Hua dari Kuching muncul juara forum tersebut.

Tempat kedua disandang Sekolah Menengah Jalan Riam Miri manakala ketiga Sekolah Tinggi Katolik Sibu.

Pemimpin kumpulan terbaik dinobat kepada Niechelle Gwyneth manakala Amelia Ho merupakan ahli forum terbaik.

Hadir sama Pengarah DBP Sarawak Dr Hazami Jahari, Timbalan Naib Canselor UCTS (Akademik) Profesor Datuk Dr Mohd Sabarudin dan Pengetua Sekolah Tinggi Katolik Sibu Anthony Tay.

 

 

Advertisement