Anda di sini

Peranan, sumbangan wanita dalam pelbagai aspek, bidang wajar dibanggakan: Fatimah

Advertisement

KUCHING: Peranan dan sumbangan wanita dalam pelbagai aspek serta bidang pada masa kini wajar dibanggakan kerana membuktikan golongan itu juga mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Menjadi harapan semua untuk melihat lebih ramai wanita menyumbang kepada kalangan masyarakat dan negara melalui pembangunan keluarga, ekonomi, pendidikan, kesihatan, politik, sosial dan budaya.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, pelantikan Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Rodziah Morshidi sebagai wanita pertama memegang jawatan pengurus besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menunjukkan selangkah lagi pencapaian wanita dalam aspek itu.

“Bagi kita (wanita), pencapaian beliau (Rodziah) merupakan satu kebanggaan kepada wanita secara keseluruhannya.

“Ini membuktikan lebih ramai wanita telah diberi jawatan penting, menjadi ketua serta pembuat dasar demi menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara ini khasnya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pelantikan itu, Fatimah mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa adil dan saksama dan tiada diskriminasi gender dalam pemilihan pemimpin di negeri ini.

“Sebagai wakil wanita di negeri ini, kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri.

“Daripada kementerian pula, walaupun kehilangan besar kerana tidak bersama kami lagi namun ia merupakan keuntungan kepada BDA (memiliki pemimpin yang berwibawa).

“Bagi wanita di Sarawak secara keseluruhannya pula, ini membuktikan bahawa wanita telah mampu mencapai kejayaan dan kecemerlangan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan sempena perpindahan Rodziah memegang jawatan baharu di BDA di Hotel Hilton di sini, malam kelmarin.

Mengimbau khidmatnya selama hampir empat tahun bersama kementerian, Fatimah yakin Rodziah mampu memikul tanggunggjawab dan tugas baharu dengan cemerlang.

“Sepanjang bekerjasama dengan beliau, di samping rekodnya berkhidmat dalam kerajaan selama 32 tahun, saya amat yakin dan percaya beliau akan menjadi seorang pengurus besar terbaik pernah BDA miliki,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fatimah berharap Rodziah sentiasa memberi khidmat dalam bidang sosial walaupun keseluruhan urusannya di tempat baharu berkaitan dengan pembangunan infrastruktur dan perindustrian.

“Selain pembangunan, aspek sosial juga penting dan pastinya pengalaman hampir empat tahun di kementerian dapat menyediakan beliau dengan keperluan menjadi seorang pengurus besar yang seimbang.

“Selain aspek pembangunan, diharapkan pengalaman di kementerian dimanfaatkan untuk memberi perhatian kepada golongan yang memerlukan memandangkan Bintulu merupakan sebuah bandar yang pesat membangun,” jelasnya.

Dedah Fatimah juga, isu sosial di Bintulu seperti permasalah berkaitan seks merupakan antara tertinggi di negeri ini berikutan ia sebuah bandar yang mengalami proses modenisasi rancak, termasuk perpindahan penduduk dari luar bandar ke bandar.

“Sama-sama kita doakan yang terbaik untuk beliau, diberikan kesihatan tubuh, dilindungi (selamat), mendapat hikmah dan petunjuk serta dipermudahkan segara urusan di Bintulu (BDA) nanti,” doa Fatimah.

Rodziah akan memulakan tugasnya secara rasmi di BDA pada 7 April (hari ini).

Turut hadir pada majlis tersebut Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat dan Menteri Muda Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, Pengarah Biro Wanita Noriah Ahmad dan Pengarah JKMNS Abang Shamsudin Abang Seruji serta ahli majlis dan kakitangan Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) dan Biro Wanita.

Advertisement