Anda di sini

Masih terdapat kanak-kanak di Sarawak tidak didaftar kelahiran

Advertisement

KUCHING: Masih terdapat sebilangan kanak-kanak di negeri ini yang tidak didaftarkan kelahiran menyebabkan mereka tidak memiliki dokumen kewarganegaraan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata senario itu membawa implikasi serius yang boleh menjejaskan masa depan kanak-kanak terbabit.

“Tanpa didaftarkan kelahiran maka kanak-kanak itu tidak akan memiliki sijil lahir.

“Disebabkan itu, mereka tidak dapat membuat kad pengenalan dan akan dilihat sebagai rakyat asing sedangkan hakikatnya adalah warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Justeru, Fatimah menjelaskan bahawa implikasi serius yang akan dialami oleh seseorang kanak-kanak tanpa dokumen ialah tidak dapat menikmati faedah-faedah yang diberikan oleh kerajaan.

“Misalnya kalau pergi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, mereka akan dikenakan caj sebagai warga asing.

“Sama juga dalam pendidikan yang hampir keseluruhan kos adalah percuma tetapi disebabkan tiada dokumen, mereka dilayan seperti warga asing dan perlu membayar pada kadar yang tinggi.

“Ini menyebabkan ada antara mereka tidak pergi ke sekolah,” katanya.

Menurut Fatimah, keadaan sedemikian amat menyedihkan dan atas sebab itu, beliau menasihati ibu bapa supaya memastikan kelahiran anak adalah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara.

Dalam pada itu, Fatimah berkata perhubungan tanpa perkahwinan pada usia muda terutama melibatkan perempuan juga mengundang kepada masalah tersebut.

Beliau memberitahu, peratusan ibu pada usia muda di negeri ini paling banyak direkodkan di Kapit, Bintulu dan Betong.

Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa termasuk komuniti dan badan-badan agama memberi perhatian terhadap isu tersebut kerana ia memberi impak kepada masyarakat, individu, anak yang dilahir dan institusi keluarga.

Advertisement