Anda di sini

RM8 juta bantu kos pemasangan bekalan air

Advertisement

RASMI: Awang Tengah (tengah) merasmikan BELB Kampung Nyalau sambil disaksikan Dr Rundi (empat kiri) dan Rosey (tiga kiri) di Bintulu semalam.

Peruntukan dilulus untuk bantu golongan tidak mampu bayar kos pemasangan bekalan air

Oleh Ambrose Rirang //

BINTULU: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM8 juta bagi membantu golongan tidak mampu membayar kos pemasangan bekalan air agar bekalan air bersih dapat disalurkan ke kawasan kediaman mereka tanpa dikenakan sebarang bayaran pendahuluan.

Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, proses penyambungan itu dilakukan terlebih dahulu dan caj penyelenggaraannya dikenakan dalam bil bulanan sesebuah isi rumah terbabit sekali gus membolehkan mereka menikmati bekalan air bersih secara bayaran ansuran.

“Inilah usaha kerajaan membantu rakyat kurang berkemampuan menikmati bekalan air bersih dengan kadar segera sebaik sahaja kerja-kerja penyambungan bekalan air sampai ke kawasan mereka di seluruh negeri ini terutama pedalaman,” katanya pada Majlis Makan Tahunan dan Perasmian Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Kampung Nyalau di sini semalam.

Bagi Kampung Kuala Nyalau, anggaran projek BELB sejumlah RM24 juta melibatkan 509 isi rumah di tiga perkampungan iaitu Kampung Kuala Nyalau, Nyalau Tengah dan Nyalau Hilir.

Jelasnya, projek BELB dibiayai dan dilaksanakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan kontraktor yang dilantik oleh KKLW melaksanakan projek itu berdasarkan kaedah ‘Reka dan Bina’.

“Senarai projek dikenal pasti dan diberi keutamaan kerajaan negeri melalui Kementerian Kemudahan Awam Sarawak berdasarkan peruntukan ditetapkan kerajaan pusat,” jelasnya.

Katanya bagi penyambungan bekalan elektrik, kerja-kerja penyambungan projek BELB tidak termasuk pendawaian dalaman yang dilaksanakan kontraktor berdaftar dengan SESCO manakala kos pendawaian harus ditanggung sendiri pemilik rumah.

Awang Tengah berkata, takrif elektrik domestik dikurangkan bagi meringankan beban penduduk negeri ini dan buat masa ini kerajaan berusaha mengurangkan kadar takrif elektrik dalam bidang komersil dan industri.

“Usul pengurangan takrif elektrik bidang komersil dan industri akan dibincangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak nanti dan kadar takrif elektrik baharu dalam kedua-dua sektor dijangka diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus turut memberi bantuan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada tiga kampung di kawasan Nyalau masing-masing menerima RM8,000.

Hadir sama Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais, Setiausaha Politik Ketua Menteri Victor Temenggung Anggang, Temenggung Barry Yek Siew Hui dan Ketua Kampung Nyalau Hulu Tasim Sabtu.

Advertisement