Anda di sini

Najib, Muhyiddin ziarah keluarga Allahyarham Jamaluddin Jarjis

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menziarahi keluarga Allahyarham Tan Dr Jamaluddin Jarjis di The Mines, Seri Kembangan, Selangor, seorang daripada enam mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih kelmarin.

Najib yang berpakaian baju Melayu serba putih, tiba pada jam 12.20 tengah hari, bersama-sama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, anak perempuannya Nooryana Najwa dan menantunya Daniyar Kessikbayev.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menziarahi anggota keluarga Allahyarham Jamaluddin.

Turut berangkat Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Turut kelihatan beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong, serta ketua pegawai eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandez.

Jamaluddin, 63, terkorban apabila helikopter AS365N2 Dauphin yang dinaikinya dalam perjalanan pulang dari menghadiri kenduri kahwin Nooryana Najwa dan Daniyar di Pekan, Pahang terhempas pada pukul 4.45 petang.

Nahas itu turut mengorbankan ketua setiausaha sulit Najib, Datuk Azlin Alias, juruterbang Kpt Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang. — Bernama

Advertisement