Anda di sini

Budak jatuh sungai

Advertisement

DI SINI: Terry menunjukkan tempat kumpulan kanak-kanak terbabit menghidu gam sebelum mereka terjun ke sungai untuk mandi.

ANGKARA BUDAK NAKAL: Terry menunjukkan sebahagian bot sering dikacau oleh kumpulan kanak-kanak terbabit.

Wanita lapor polis anak dikhuatiri terjatuh ke sungai di sebuah dermaga di Sibu.

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Seorang wanita tampil membuat laporan polis setelah anaknya yang berusia 10 tahun hilang, dikhuatiri terjatuh ke sungai di sebuah dermaga dekat Tua Pek Kong di Jalan Khoo Loong di sini petang kelmarin.

Polis percaya mangsa dihanyutkan arus deras sebelum hilang berdekatan kawasan Terminal Penumpang Sibu (TPS).

Menurut seorang yang biasa mengunjungi dermaga terbabit, Terry Augustus mangsa sering kelihatan bermain dengan beberapa kumpulan kanak-kanak lelaki lain di situ.

Bagaimanapun, polis tidak dapat mencari rakan-rakan mangsa yang bersamanya semasa kejadian kerana mereka melarikan diri selepas kejadian itu.

“Mereka akan tiba di dermaga ini sekitar jam3 petang dan bersembunyi di bawah tangga dan di bawah dermaga untuk menghidu gam sebelum berenang.

“Orang awam turut menasihati kumpulan kanak-kanak lelaki terbabit berhenti bermain di dermaga itu kerana  berbahaya tetapi mereka tidak mengendahkannya,” kata Terry ketika ditemui di dermaga itu semalam.

Dia berkata kumpulan kanak-kanak lelaki terbabit sangat nakal kerana mereka sering merosakkan bot sehingga pernah menyebabkan bot tenggelam.

Polis menerima laporan pada jam 3.35 petang kelmarin (Sabtu) daripada seorang pegawai Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) yang bertugas di TPS berhubung kes tersebut.

Pegawai itu memberitahu polis, orang awam melihat seorang budak lelaki terkapai-kapai meminta bantuan di dalam sungai dan terus hilang selepas tenggelam di bawah beberapa bot.

Apabila menerima laporan itu, polis pergi ke tempat kejadian dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat tetapi tidak menjumpai mangsa.

Polis tidak melancarkan operasi mencari dan menyelamat pada malam kejadian.

Namun, semalam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Polis Marin telah melancarkan operasi mencari mangsa.

Advertisement