Anda di sini

Pengguna dijangka memahami sepenuhnya pelaksanaan GST dalam tempoh sebulan

Advertisement

ALOR SETAR: Pengguna dijangka memahami sepenuhnya pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh sebulan berikutan jumlah aduan panggilan berkaitan GST terus berkurangan pada hari ketiga, semalam,

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata sebanyak 528 aduan panggilan diterima pada hari ketiga pelaksanaan GST (sehingga jam 1 petang kelmarin), berbanding 720 aduan pada hari kedua ia dilaksanakan, penurunan sebanyak 15.38 peratus.

“Dalam tempoh tiga hari sehingga kelmarin (3 April), aduan berkurangan kemungkinan kerana pengguna sudah mampu untuk membuat perbandingan dan mungkin dalam tempoh sebulan pengguna boleh memahami secara sepenuhnya.

“Sebelum pelaksanaan (GST) pengguna tidak dapat melihat secara jelas dan itu yang menyebabkan mereka gusar tetapi setelah pelaksanaan, mereka sudah mula memahami bagaimana sistem GST ini dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan GST di pasar raya Aeon Big di sini semalam.

Katanya, daripada keseluruhan aduan pada hari kedua dan ketiga pelaksanaan GST, aduan berkaitan kad tambah nilai paling banyak diterima dengan 957 aduan(52 peratus) diikuti harga barang 588 aduan (32 peratus) dan lain-lain aduan terhadap pembelian surat khabar, yuran perkhidmatan, tambang pengangkutan awamdan tiada nombor ID GST pada resit.

Ahmad Bashah berkata dalam tempoh tiga hari, Bilik Gerakan Ibu Pejabat KPDNKK yang beroperasi 24 jam banyak menerima aduan dan negeri Selangormencatatkan jumlah aduan tertinggi dengan 402 aduan diikuti Kuala Lumpur (391)dan Johor (171) manakala Kedah berada di tangga ke-11 dengan 69 aduan.

“Ada sesetengah peniaga yang tidak mendaftar cuba mengambil kesempatan mengenakan GST kepada pembeli. Sekiranya aduan dibuat kita akan mengambil tindakan tegas kepada peniaga tetapi aduan perlu disertakan bersama-sama resit sebagai bukti,” katanya.

Katanya, pembeli perlu menyimpan resit pembelian untuk membuat perbandingan dan sekiranya mereka merasakan peniaga mengambil kesempatan, aduan boleh terus dibuat kepada pihak KPDNKK atau Jabatan Kastam dan tindakan akan diambil dengan segera.

Tambah Ahmad Bashah, selain penguat kuasa KPDNKK dan Jabatan Kastam, Skuad Pengguna di bawah KPDNKK juga akan turut membantu menjalankan pemantauan dipremis-premis bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan terhadappelaksanaan GST. — Bernama

Advertisement