Anda di sini

Surau Darul Ma’wa terima RM2,000 untuk tambah dana Hari Keluarga

Advertisement

SIBU: Surau Darul Ma’wa, Kampung Baharu terima sumbangan RM2,000 daripada golongan belia Melayu di sini, baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh wakil anak muda sekitar kampung-kampung Melayu di sini iaitu Ibrahim Rini dan Yassim Rambeli serta rakan-rakan mereka kepada Pengerusi Surau Darul Ma’wa Abang Kassim Abang Jes.

Menurut Ibrahim, sumbangan ikhlas tersebut adalah bagi menambah dana surau berkenaan untuk program Hari Keluarga sempena Hari Wanita 2015 pada 11 April ini.

“Selain itu, kami berharap apa yang kami sebagai anak muda lakukan ini akan menarik lebih ramai golongan belia atau individu lain di luar sana menjalankan tanggungjawab sosial,” ujarnya.

Tambahnya, sumbangan itu juga diyakini mampu merapatkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan anak muda di sini dengan ahli jawatankuasa surau dan penduduk kampung.

Sementara itu, Abang Kassim yang berbesar hati menerima sumbangan tersebut mengucapkan terima kasih kepada anak muda di sini kerana sedikit sebanyak mengurangkan beban surau tersebut dalam mengumpul dana untuk program Hari Keluarga yang akan datang.

“Kita sangat gembira dengan sumbangan ini dan ia merupakan contoh yang baik untuk anak muda yang lain,” katanya.

Abang Kassim memberitahu, program Hari Keluarga pada 11 April nanti akan diadakan secara tetutup untuk penduduk sekitar kawasan Kampung Baharu di sini.

Tambahnya, pelbagai aktiviti akan dijalankan seperti pertandingan memasak, gubahan bunga, mewarna untuk kanak-kanak, pameran dari pelbagai agensi swasta dan kerajaan dan sebagainya.

“Kita harap melalui program ini nanti, ia akan dapat menarik minat penduduk tempatan di sini untuk memeriahkan suasana surau selain menjadi tempat beribadat,” ujarnya.

 

Advertisement