Anda di sini

Ikrar integriti, PPPR sambut baik pengumuman Shahrir

Advertisement

KUCHING: Panel Rundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) menyambut baik pengumuman Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) Tan Sri Shahrir Abdul Samad kelmarin bahawa Ahli Parlimen akan menandatangani ikrar integriti bagi mempertingkatkan budaya integriti dalam kalangan ahli-ahli politik.

PPPR selaku badan bebas pemantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat langkah ini satu komitmen yang harus disambut baik oleh semua pihak.

Pada masa sama, PPPR juga berharap setiap Ahli Parlimen akan membuat deklarasi aset kepada SPRM.

Justeru, PPPR yakin bahawa langkah menandatangani ikrar integriti tersebut akan membawa negara ke era politik baharu memandangkan kajian Transparency International Global Corruption Barometer kebelakangan ini mendapati ahli-ahli politik berada di tangga teratas dari segi persepsi negatif dan parti politik adalah satu daripada sektor paling korup.

“Apa yang penting, menjadi harapan PPPR agar kesemua wakil rakyat BN di peringkat negeri dan juga wakil rakyat dari parti-parti lain akan mengambil langkah yang sama,” kata PPPR menerusi kenyataan akhbar, kelmarin.

PPPR juga mengesyorkan agar mereka yang menjadi calon pilihan raya mengambil ikrar integriti kerana budaya berintegriti perlu dicerminkan sebelum seseorang itu menjadi wakil rakyat.

 

Advertisement