Anda di sini

Manfaatkan pengalaman kursus teknologi pemprosesan makanan

Advertisement

MARUDI: Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi),  Datuk Julaihi Narawi menggalakkan penduduk di kawasan luar bandar untuk memanfaatkan sepenuhnya pengalaman yang diperolehi dengan menghadiri kursus teknologi pemprosesan makanan.

Katanya, melalui kursus tersebut peserta bukan sahaja boleh menghasilkan makanan diri sendiri tanpa perlu bergantung kepada makanan di pasaran malah dijadikan sebagai perniagaan khususnya industri kotej.

Menurutnya, walaupun kursus itu singkat namun peserta berpeluang mempelajari selok-belok teknologi pemprosesan hasilan sos, keropok lekor dan nuget ikan, pembungkusan dan perlabelan makanan serta cara kawalan mutu pemprosesan hasilan.

“Justeru, saya harap peserta memanfaatkan dan mengamalkan maklumat yang dipelajari supaya dapat menyediakan makanan kesukaan keluarga dengan tangan sendiri serta menjadikan sebagai produk perniagaan,” katanya pada penutupan Kursus Teknologi Pemprosesan Makanan anjuran Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Sarawak di sini petang Selasa lalu.

Menteri Muda Pembanguan Luar Bandar itu memberitahu bahawa menjadi seorang peniaga atau usahawan berjaya bukan mudah, terdapat pelbagai rintangan dan liku-liku perlu dihadapi dan diatasi dengan tidak menjadikan kegagalan sebagai halangan yang melemahkan semangat mereka.

Katanya, jika peserta benar-benar mahu menceburi perniagaan maka perlu memiliki semangat keusahawanan, ketabahan, ketekunan dan kegigihan serta jangan mudah menyerah kalah.

“Walaupun bermula perniagaan kecilan di kampung, di luar bandar sekalipun kita boleh menerokai perniagaan lebih besar. Dari pasaran tempatan ke pasaran global, dari satu produk ke pelbagai produk dan perkhidmatan.

“Ini bukan sesuatu yang aneh tetapi terbukti dengan pelbagai contoh yang telah ada pada masa lalu dan masa sekarang,” ujar beliau memberi semangat kepada para peserta.

Julaihi mengingatkan peserta bahawa salah satu baik perlu dimiliki peniaga Bumiputera ialah sifat positif dan baik iaitu rajin, tekun serta mesra pelanggan selain mempelajari kaedah berniaga bagi mereka sudah berjaya.

Kursus dua hari itu disertai seramai 70 peserta dari sekitar Marudi.

Turut hadir Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan air) dan Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang) Datuk Sylvester Entri Muran, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Atiqah Dolhan, Pegawai Penyelidik MARDI, Suzalyna Mos dan Pegawai Daerah Marudi, Mackos Sibong.

Advertisement