Anda di sini

SainsKu tempah tiket ke pentas akhir

Advertisement

KUCHING: SM Sains Kuching (SainsKu) menempah tiket ke pentas akhir Kejohanan Bola Keranjang Sekolah Berasrama Penuh (SBP) selepas memenangi kategori lelaki dan wanita Zon 4 (Sabah, Labuan dan Sarawak) di Stadium Tertutup Persatuan Bola Keranjang Sarawak.

Pada perlawanan akhir, SainsKu mengalahkan SM Sains Sabah dengan 63-39.

Sains Sabah mendahului 10-2 pada lima minit pertama, tetapi SainsKu menyamakan kedudukan 12-12 pada penghujung suku pertama.

SainsKu kemudian mendahului 27-16 dan kombinasi Mohamad Zainoren Mohamad Ali, Muhd Ariq Anuar, Awang Haziq Awang Muhidin dan Mohd Faizie Arif terus meletakkan mereka di hadapan dengan 39-23.

Sebelum melangkah ke pentas akhir, SainsKu mengalahkan SM Sains Labuan 49-30, SM Sains Lahad Datu dengan 52-11 pada peringkat kumpulan sebelum mengenepikan SM Sains Miri dengan 85-23 pada separuh akhir.

Dalam kategori wanita, SainsKu menghadapi cabaran mengalahkan SM Sains Labuan.

Mereka mendahului 8-2 pada suku pertama, 18-5 pada suku kedua dan 37-7 pada suku ketiga sebelum memenangi perlawanan dengan 43-21.

Lebih manis, pemain SainsKu Awang Haziq dan Jila Antonia Stephen dinobatkan pemain terbaik lelaki dan wanita.

Pengetua SainsKu, Bahtiar Afandi melahirkan rasa gembira dengan kejayaan pasukannya dan mengekalkan pencapaian tahun lalu yang mana pasukan wanitanya muncul juara.

 

Advertisement