Anda di sini

Pembangunan bola sepak peringkat akar umbi perlu diperhebat: Haidel

Advertisement

ASAJAYA: Program pembangunan bola sepak peringkat akar umbi perlu diperhebatkan agar Sarawak tidak ketandusan pemain-pemain berbakat dan berkualiti pada masa akan datang.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Haidel Heli berkata antara inisiatif yang perlu diberi tumpuan adalah dengan memperbanyak pertandingan peringkat sekolah rendah.

“Penganjuran kejohanan peringkat sekolah rendah perlu diperbanyakkan bagi memberi pendedahan kepada murid-murid kemahiran asas menjadi pemain lebih matang dan berkualiti satu hari nanti,” katanya pada majlis penangguhan Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 dan 11 tahun Majlis Sukan Sekolah Rendah (MSSR) Daerah Samarahan di padang bola sepak Kampung Sambir, di sini kelmarin.

Haidel yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) berkata, pihak persatuan juga sentiasa memikirkan jalan terbaik untuk meningkatkan mutu bola sepak negeri ini.

Namun, katanya, tugas itu tidak seharusnya diletakkan di bahu FAS semata-mata.

“Pihak sekolah perlu menjalinkan kerjasama erat dengan FAS agar program pembangunan bola sepak peringkat akar umbi dapat dilaksanakan dengan jayanya,” tambah Haidel.

Sementara itu, SK Jaie muncul juara bagi kategori bawah 12 tahun selepas menewaskan SK Dato Traoh dengan 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan sebelum itu terikat 1-1 dalam masa perlawanan sebenar.

Manakala SK Sebandi Hulu dan SK Rebak pula berkongsi tempat ketiga bersama.

Bagi kategori bawah 11 tahun menyaksikan juara milik SK Jalan Muara Tuang selepas menewaskan SK Haji Kelali Semera dengan 4-2.

Tempat ketiga bersama milik SK Sambir dan SK Pendam.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan Haidel bersama Guru Besar SK Sambir yang juga Pengerusi Pengelola, Mohamad Raba’ai Sedek.

Kira-kira 30 buah sekolah rendah di Bahagian Samarahan menyertai kejohanan anjuran bersama SK Sambir, SK Sebandi Hulu, SK Terasi dan SK Sungai Bulu, Senangeh pada 25 dan 26 Mac lalu.

Advertisement