Anda di sini

Jangan terpengaruh andaian negatif tentang GST, kata Tengku Adnan

Advertisement

PUTRAJAYA: Masyarakat diingatkan tidak terpengaruh dengan kenyataan negatif pihak tertentu berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sehingga cukai baharu itu dilaksanakan Rabu depan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tanggapan bahawa pelaksanaan GST akan menyebabkan Barisan Nasional (BN) bakal hilang tampuk pemerintahan juga merupakan mainan ‘halus’ yang sama sekali tidak mempengaruhi kerajaan dalam membuat keputusan berhubung pelaksanaan cukai itu.

Beliau berkata keputusan untuk melaksanakan GST adalah bermatlamat menyelaras cara atau kaedah kutipan cukai bagi membolehkan pendapatan negara menjadi lebih kondusif.

“Banyak yang diperkatakan tentang GST ini tetapi kita kena tahu daripada 12 juta pekerja di Malaysia, hanya 1.2 juta orang yang bayar cukai…jadi kerajaan laksanakan GST untuk selaras cara kutipan yang kutipannya dikembalikan semula kepada rakyat.

“Pihak berkenaan, khususnya pakatan pembangkang sengaja mainkan isu GST ini hanya untuk memainkan perasaan rakyat dan di pihak kerajaan kami sediamemperbetulkan apa yang kurang dalam pelaksanaannya tetapi tunggulah sehingga ia dikuatkuasakan 1 April ini,” katanya semasa menutup mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) di sini semalam.

Pelaksanaan GST pada kadar enam peratus adalah bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (CJP) yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

Tengku Adnan berkata bagi memastikan rakyat tidak diambil kesempatan, kerajaan telah dan akan mengambil pelbagai pendekatan bagi membela dan melindungi pengguna.

Antaranya Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menubuhkan bilik gerakan untuk memantau pelaksanaan dan aduan pengguna serta mengambil tindakan sewajarnya seiring dengan penguatkuasaan GST, katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berharap kerjasama erat antara PIBG dan pihak sekolah dapat terus dipertingkat bagi memastikan kecemerlangan yang dicatatkan pelajar dan sekolah dapat terus dikekalkan.

Pada majlis itu, Tengku Adnan turut menyampaikan sumbangan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) kepada PIBG sekolah itu kerana muncul sebagai sekolah terbaik seluruh Putrajaya dua tahun berturut-turut bagipeperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). — Bernama

Advertisement