Anda di sini

Tuai rumah perlu profesional jadi pemimpin rumah panjang

Advertisement

SIBU: Tuai rumah  digesa agar lebih proaktif dan mengamal sikap profesional dalam menjalan tanggungjawab terhadap rakyat di bawah bidang kuasa masing-masing seiring dengan peredaran zaman.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Adat Bumiputera dan Penan) Datuk John Sikie Tayai berkata, peredaran zaman turut menuntut tuai rumah menimba ilmu pengetahuan.

“Tuai rumah harus sentiasa bersedia mempelajari kemahiran dan ilmu pengetahuan relevan dengan keperluan masa kini terutama mengenai dasar kerajaan demi pembangunan penghuni dan rumah panjang,” jelasnya.

John Sikie berkata demikian pada Majlis Penutupan Seminar Memperkasakan Kepimpinan dan Pengurusan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Daerah Tatau Tahun 2015 yang berlangsung di Kem Belia Kemuyang, semalam.

John Sikie yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan memberitahu, tuai-tuai rumah juga memainkan peranan dalam membantu penduduk rumah panjang meningkat taraf hidup menerusi aktiviti penanaman kelapa sawit, getah, lada dan koko.

“Penduduk rumah panjang bergantung kepada aktiviti pertanian untuk menyara kehidupan mereka. Pertanian berbentuk sara diri harus diubah kepada pertanian yang bercorak lebih komersial.

“Maka, di sinilah peranan tua rumah dan ketua masyarakat diperlu dengan menghubungi atau berjumpa dengan jabatan kerajaan berkaitan untuk mencari segala bentuk peluang yang dapat dimanfaatkan penduduk rumah panjang,” katanya.

Jelasnya, menerusi agensi dan jabatan kerajaan berkaitan, mereka boleh memohon untuk mendapatkan bantuan menanam pokok getah, kelapa sawit dan koko yang dilihat berpotensi untuk diusahakan.

Pada majlis sama, John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus menyampaikan Sijil Pelantikan Tuai Rumah Baharu kepada enam penerima dan Sijil Pelantikan Semula atau Pelanjutan Tuai Rumah kepada empat penerima.

Seminar yang bermula 23 hingga 25 Mac telah disertai 84 peserta melibatkan ketua masyarakat dan ketua kaum bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus.

Seminar dianjur bertujuan menerang dan meningkatkan pemahaman ketua masyarakat dan ketua kaum tentang fungsi, peranan dan tanggungjawab mereka terhadap rakyat di bawah bidang kuasa masing-masing, di samping memberi penjelasan mengenai bantuan yang disedia oleh agensi kerajaan berkaitan.

Antara agensi dan jabatan kerajaan yang menyampaikan taklimat pada seminar tersebut ialah Pejabat Residen Bintulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Tatau, Majlis Adat Istiadat Sarawak, Ibu Pejabat Polis Daerah Tatau, Jabatan Tanah dan Survei Bintulu, Jabatan Pertanian Daerah Tatau, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Pejabat Daerah Tatau, Lembaga Lada Malaysia (LLM) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM).

Hadir sama ialah Pegawai Dearah Tatau Nyurak Keti dan wakil-wakil ketua agensi dan jabatan kerajaan.

Advertisement