Anda di sini

Peratusan kehamilan remaja di Sarawak tinggi

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

Catat kadar 8.3 peratus pada tahun 2014

GIMIK PERASMIAN: Fatimah (tiga kiri) dibantu Dr Jamilah melakukan upacara perasmian Seminar Pengendalian Masalah Kesihatan Seksual dan Reproduktif Remaja Peringkat Negeri Sarawak. Turut kelihatan Serina, Noriah dan Abdul Rahman.

KOTA SAMARAHAN: Sarawak merupakan antara negeri di Malaysia yang mempunyai peratusan kehamilan remaja tertinggi, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Dedahnya, peratus kehamilan remaja di Sarawak pada 2014 adalah pada kadar 8.3 peratus berbanding kadar dicatatkan untuk Malaysia sebanyak 3.4 peratus.

“Daripada kadar yang dilaporkan ini, didapati bahagian Kapit menunjukkan peratus kehamilan remaja paling tinggi iaitu 14.6 peratus diikuti bahagian Betong (10.9 peratus), Sri Aman dan Sibu (10.8 peratus) dan Bintulu (9.8 peratus).

“Bagaimanapun, dari segi bilangan kehamilan, bandar-bandar besar seperti Ku-ching, Miri, Sibu dan Bintulu menunjukkan bilangan yang sangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Pengendalian Masalah Kesihatan Seksual dan Reproduktif Remaja Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya hampir 35 peratus iaitu satu pertiga daripada bilangan remaja yang hamil ini terdiri daripada mereka yang belum berkahwin.

“Manakala 55 peratus mereka ini berumur antara 10-17 tahun, yang mana sepatutnya masih berada di bangku sekolah.

“Didapati 95 peratus remaja ini pula adalah mereka yang berhenti sekolah sama ada setelah hamil atau tidak bersekolah langsung semasa kehamilan berlaku,” jelasnya.

Fatimah menjelaskan, kehamilan remaja merupakan isu yang perlu ditangani oleh banyak pihak dan permasalahan ini ujarnya mampu memberi impak kepada remaja itu sendiri daripada sudut kesihatan, pendidikan, ekonomi dan sosial, selain dapat menyumbang kepada masalah sosial, melemahkan institusi keluarga, masyarakat dan negara.

Justeru, Fatimah memaklumkan bagi menangani masalah kehamilan remaja secara bersepadu dan menyeluruh, sebuah jawatankuasa One Stop Teenage Pregnancy Commitee (OSTPC) ditubuhkan pada bulan Oktober 2014.

Menurutnya, jawatankuasa itu melibatkan kerjasama Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Kemajuan Islam, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta pertubuhan bukan kerajaan.

“Antara isu yang perlu ditangani adalah seperti penjagaan kesihatan semasa hamil dan selepas bersalin, pendidikan, perkahwinan di bawah umur, perlindungan, tempat tinggal dan bantuan kebajikan sekiranya diperlukan serta penjagaan anak yang bakal dilahirkan.

“OSTPC juga pada 14 Feb-ruari lalu buat julung kali-nya menganjurkan Program ‘I’m in Control: Cakna Diri Remaja Modul Sarawak’ di Bintulu yang akan diteruskan di Betong minggu ini dan ke sekolah-sekolah lain di seluruh negeri ini sepanjang 2015,” jelasnya.

Sementara itu, Fatimah pada sidang media selepas majlis perasmian berharap masyarakat dapat memberi peluang kedua kepada remaja yang pernah terlibat dengan kehamilan khasnya yang ingin meneruskan pelajaran.

“Sebagai contoh di Miri, berlaku kes apabila pengetua memberi peluang kepada remaja ini meneruskan pelajaran akhirnya remaja terbabit berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah,” tambahnya.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim, Pengarah Pendidikan Negeri Serina Sauni, Pengarah Biro Wanita Noriah Ahmad dan Residen Bahagian Samarahan Abdul Rahman Sebli Senusi.

Selain pameran dan sari-ngan kesihatan, program sehari itu dihadiri 597 peserta seminar dengan enam topik iaitu ‘Remaja & Permasalahan’ oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Dr Nik Rubiah Nik Abdul Rashid, ‘Ke Arah Eliminasi Jangkitan Vertikal’ (Timbalan Pengarah Sektor HIV/AIDS Dr Sha’ari Ngadiman), ‘Pe-ranan Pegawai Pelindung (Pegawai Pelindung JKM Harry Silas Tirau), ‘Aspek Perundangan, Etika Perubatan dan Hak & Sosio Budaya’ (Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya Dr Farah Nini Dusuki), ‘Pengendalian Kehamilan, Pengguguran dan Perkhidmatan Kontraseptif’ (Pakar Perunding O&G Prof Madya Dr Harlina Halizah) dan ‘Peranan Unit One Stop Crisis Centre’ (Pegawai OSCC Dr Wong Kee Ging).

Advertisement