Anda di sini

Muaythai Bintulu lakar sejarah

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

TAHNIAH: Taib menyampaikan piala pusingan kepada Shafilaludin sambil disaksikan yang lain semasa Kejohanan Piala Pusingan TYT di Bintulu baru-baru ini.

BINTULU melakarkan sejarah apabila tiga petinju dinobatkan sebagai juara muaythai selama empat hari Kejohanan Muaythai Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Piala Borneo dan Piala Bintulu yang cukup hebat dilangsungkan di Gelanggang Muaythai Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu pada 18 hingga 21 Mac lalu.

Kejohanan Piala Pusingan TYT edisi kedua menjadi milik Shafilaludin Nordin setelah menundukkan Hudson Kayan pada perlawanan akhir kejohanan itu.

Shafilaludin dari Kelab SS Fighter Kuching merupakan penyandang kejohanan yang sama tahun lalu terpaksa menunggu sehingga pusingan kelima untuk menjinakkan Hudson dari Kelab Muaythai Kenyalang (MTK) Kuching dalam pertarungan sengit untuk menang.

Kemenangan itu membolehkan Shafilaludin membawa pulang piala pusingan, piala iringan, pingat dan wang tunai, manakala Hudson menerima hadiah berupa piala, pingat dan wang tunai.

Perlawanan jemputan antarabangsa pula menyaksikan petinju Sarawak, Mohd Zahid Haizan (Zahid ‘Super Kijang’) dari Kelab MTK (Sarawak) menewaskan Mustafa Mungkon dari Mungkorn Fight Team Singapore (Singapura).

Manakala, kehebatan Trevor Sallang ‘The Machete’ dari Warrior Muaythai Sarawak (Sarawak) terserlah apabila mengalahkan Santchai dari Satun Thailand.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Turut menyaksikan kejohanan itu, isteri TYT Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak serta ketua penasihat kejohanan Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) merangkap Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar) dan ADUN Kemena Datuk Dr Stephen Rundi Undi, Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan isteri.

Pengurus Besar BDA merangkap pengerusi jawatankuasa penganjur Datu Mohidin Ishak, Presiden PMNS Jumaat Ibrahim dan Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari.

Piala Pusingan Bintulu 2015

Perlawanan malam ketiga pula menyaksikan Kabilan Javilan muncul juara edisi kedua Kejohanan Muaythai Piala Pusingan Bintulu setelah menewaskan Abdul Ariff Mulok.

Kabilan merupakan penyandang juara tahun lalu dari Kelab Muaythai SS Fighter Kuching mempergunakan sepenuhnya kekuatan tumbukan dan serangan lututnya mengakibatkan Abdul Ariff dari Kelab Muaythai Kenyalang (MTK) Kuching tumbang tiga kali dalam perlawanan itu setelah bertarung beberapa minit pada awal pusingan pertama.

“Ini merupakan pertarungan cukup baik dan paling hebat pernah saya hadapi, meskipun saya berasa sakit pada lutut sebelah kiri,” kata Kabilan, 15, sambil berbangga dengan kemenangan itu semasa ditemui selepas tamat perlawanan.

Katanya, kemenangan ini merupakan hadiah untuk keluarga dan jurulatih yang sentiasa berada bersama saya.

“Selama 10 bulan dalam bidang sukan muaythai, latihan yang dilalui memang sukar serta perubahannya juga tidak mudah.

“Tetapi saya cuba memberikan terbaik dan menunjukkan keupayaan saya kepada jurulatih bahawa saya boleh melakukan sekali lagi (menang) dalam perlawanan ini,” katanya.

Menurutnya, Piala Pusingan Bintulu yang dimenangi itu merupakan yang kedua daripada lima kemenangan dalam lima siri perlawanan yang pernah disertainya.

Kabilan berkata antara kejohanan dimenanginya sebelum ini ialah kejohanan muaythai di Sematan (Lundu), Bintulu (edisi pertama), Kuching (Sarawak), Sabah dan sekali lagi kejohanan di Bintulu untuk edisi kedua tahun ini.

Selain itu, Kabilan turut melihat perkembangan petinju-petinju muda di Sarawak cukup bagus dan menyifatkan petinju Sarawak mempunyai kualiti masing-masing.

“Pada masa akan datang saya akan terus berusaha membanggakan pasukan agar lebih dihormati dan membawanya ke tahap lebih tinggi,” katanya.

PIALA BORNEO: (Dari kiri) Ir Nazri, Jumaat, Aswadee dan Markus menandatangani dokumen MoU pengwujudan Piala Borneo untuk petinju-petinju muaythai.

Piala Borneo 2015

Hari terakhir kejohanan pula menyaksikan Teo Seng Meng menjuarai kejohanan sulung muaythai Piala Borneo setelah menundukkan Awang Abdul Rahman dari Kelab PS Muaythai Sebiew Bintulu (Sarawak).

Perlawanan kategori profesional 48 kilogram (kg) itu menyaksikan Teo dari Kelab Muaythai Labuan ASSC (Labuan) terpaksa menunggu sehingga pusingan keempat untuk menyekat perjuangan Awang Abdul Rahman.

Teo melakukan asakan melalui beberapa teknik tendangan dan serangan lutut akhirnya berjaya menidakkan peluang Awang Abdul Rahman untuk mara apabila rebah pada pusingan keempat.

Kejuaraan itu membolehkan Teo membawa pulang tali pinggang hitam Piala Borneo, piala iringan dan pingat, manakala Awang Abdul Rahman menerima pingat.

Perlawanan akhir Piala Borneo kategori wanita profesional 55 kg turut menyaksikan Dayang Farhanah Abang Sazali dari Kelab Muaythai Kenyalang (MTK) Sarawak muncul juara setelah menewaskan Dolphina Walter dari Kelab SS Fighter Sarawak.

Dayang Farhanah dinobatkan sebagai pemenang setelah Dolphina rebah di tepi gelanggang apabila menerima asakan pada awal pusingan pertama perlawanan.

Perlawanan lain yang turut dilangsungkan pada hari terakhir kejohanan ialah kategori amatur akhir Piala Borneo.

Kejohanan Muaythai Piala Borneo disertai petinju-petinju dari Sarawak, Sabah, Labuan dan Indonesia untuk kategori amatur dan profesional.

Seramai 34 peserta dari Sabah, 10 peserta Labuan dan 50 peserta Sarawak menyertai kejohanan itu termasuk 10 petinju jemputan antarabangsa dari Thailand, Singapura, Indonesia dan Malaysia yang menampilkan kehebatan mereka pada malam pertama pembukaan kejohanan.

Hari terakhir kejohanan turut termeterainya perjanjian persefahaman (MoU) antara persatuan-persatuan muaythai dari tiga negeri (Malaysia) dan sebuah wilayah (Indonesia) di kepulauan Borneo untuk mewujudkan Kejohanan Muaythai Piala Borneo.

Upacara menandatangani MoU itu melibatkan Presiden PMNS Jumaat Ibrahim, Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sabah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif DJFC Ir Nazri Ab Razak, Presiden Persatuan Tomoi Wilayah Persekutuan Labuan Aswadee Taba dan Presiden Muaythai Wilayah Kalimantan Barat (KalBar) Markus Koknak.

JUARA MUAYTHAI: Kabilan dan Abdul Ariff merakam gambar bersama pengurus pasukan dan jurulatih serta Jumaat (tengah).

Advertisement