Anda di sini

Rezeki hari lahir pengerusi Public Bank terima tiga anugerah

Advertisement

Oleh Adriana Mroon Ambrose//

 

KUALA LUMPUR: Hari lahir Tan Sri Dr Teh Hong Piow yang ke-85 pada Sabtu, 14 Mac lepas merupakan hari yang paling bermakna kepada pengasas dan pengerusi Public Bank itu apabila beliau dianugerahi bukan satu, tetapi tiga anugerah peribadi pada majlis sambutan hari lahir beliau.

Dua buah syarikat penerbitan antarabangsa, Yazhou Zhoukan dan The Asset serta Yayasan Asia Pacific Brands, sebuah yayasan penjenamaan di Malaysia, menganugerahkan Teh Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Usahawan Cina Sedunia Yazhou Zhoukan Tahun 2015, Anugerah The Asset bagi Jurubank Berbakat Luar Biasa Tahun 2015 dan Anugerah BrandLaureate ICON of ICONS – Orang Yang Paling Berpengaruh dalam Bidang Perbankan.

Ketua Pengarang Yazhou Zhoukan dalam ucapannya menyifatkan Teh sebagai legenda dalam kalangan masyarakat perniagaan Cina yang telah membuka lembaran baharu bagi perniagaan perbankan di rantau Asia.

“Dedikasi dan penumpuan penuh Teh pada perbankan patut dicontohi. Komitmen sepenuh hati beliau untuk memastikan Public Bank memperoleh kejayaan tahun demi tahun di rantau Asia merupakan sumber inspirasi kepada tokoh-tokoh perbankan lain sekali gus menjadi penanda aras bagi industri perbankan,” katanya.

Bagi Ketua Pengarang The Asset Daniel Yu pula, beliau memuji Teh kerana kebijaksanaan dalam kesederhanaannya.

“Kesungguhan dan dedikasi Teh dalam meneraju Public Bank selama lebih daripada setengah abad telah menghasilkan keuntungan berterusan yang sukar untuk ditandingi termasuk oleh bank-bank terkemuka di dunia.

“Public Bank menjadi institusi bertaraf dunia yang mempamerkan kecemerlangan dalam perkhidmatan pelanggan, pengurusan risiko yang berhemat dan urus tadbir korporat yang tiada tandingannya,” katanya.

Teh telah menerima sejumlah 42 anugerah peribadi sebagai mengiktiraf komitmen beliau terhadap kecemerlangan dan dedikasi sepanjang hayat beliau dalam industri perbankan yang menjadi teladan.

 

Advertisement