Anda di sini

Majlis Makan Malam Gawai Dayak Bahagian Sibu pada 23 Mei depan

Advertisement

SIBU: Majlis Makan Malam Gawai Dayak Bahagian Sibu akan diadakan di Hotel Kingwood, Sibu pada 23 Mei ini jam 7 malam.

Pengerusi Jawatankuasa Gawai Dayak Bahagian Sibu, Datuk Alice Jawan berkata majlis itu dianjurkan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Sibu dengan kerjasama Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Sibu, SDNU Cawangan Rajang, SDNU Cawangan Sibu Jaya, Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) Cawangan Sibu dan Pertubuhan Belia Dayak Sarawak (PEBEDAS).

“Tetamu kehormat ataupun ‘Tuai Pengabang’ majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri, Dato Sri Empiang Jabu yang juga Presiden SIDS.

“Majlis tahunan itu untuk mengeratkan silaturahim serta perpaduan kalangan masyarakat Dayak di Sibu. Tema tahun ini ialah ‘Segulai, Sejalai, Sepenemu’,” katanya mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Gawai Dayak Bahagian Sibu di sini, malam kelmarin.

Hadir sama Temenggung Stanley Gramong yang juga Penasihat Jawatankuasa Gawai Dayak Bahagian Sibu.

Alice yang juga Pengerusi SIDS Cawangan Sibu berkata, sebanyak 120 meja disediakan pada majlis itu dijual dari harga RM1,000, RM700 dan RM600.

“Bagi tiket meja berharga RM1,000 kita menyediakan sebanyak 20 meja diikuti RM700 (20 meja) dan RM600 (80 meja).

“Tiket meja itu dijual kepada orang ramai mulai April ini selepas tiket-tiket siap dicetak. Saya akan umumkan tiket ini boleh dibeli atau didapati hujung bulan ini selepas kami mengadakan mesyuarat kedua pada 31 Mac nanti,” ujarnya.

Bercakap mengenai acara-acara diadakan pada majlis itu, Alice memberitahu pelbagai persembahan kebudayaan akan diadakan.

Selain itu, dua artis popular Iban turut diundang khas bagi memeriahkan majlis tersebut.

“Acara menjadi tumpuan ialah Pertandingan Keling dan Kumang Gawai Sibu 2015. Pertandingan ini dibuka kepada semua peserta berminat. Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenainya akan diumumkan hujung bulan ini,” jelasnya.

Beliau berkata, insentif pendidikan turut diberikan kepada pelajar-pelajar Dayak memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam tahun lalu.

“Ia merangkumi UPSR, PT3, SPM dan STPM. Insentif hanya diberikan kepada anak-anak berbangsa Dayak sahaja bersekolah di Sibu,” katanya.

 

Advertisement