Anda di sini

Malaysia komited selesai isu Laut China Selatan secara berhemah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk menyelesaikan isu pertikaian wilayah maritim di Laut China Selatan secara baik dan berhemah berdasarkan penyusunan semula dokumen Kod TataLaku di Laut China Selatan (COC).

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin berkata komitmen itu selaras kedudukan negara sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, yang diterima di tengah-tengah ketegangan yang berlaku di Laut China Selatan itu.

“Malaysia telah memainkan peranan dalam mesyuarat pemukiman Menteri Luar ASEAN yang diadakan di Sabah Januari lalu. Satu perbincangan meluas mengenai penubuhan COC dijalankan yang turut dihadiri Menteri Luar China.

“Insya-Allah isu ini akan dapat ditangani secara baik dan berhemah,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai fokus utama negara sebagai Pengerusi ASEAN, di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

ASEAN dan China kini sedang mengadakan perbincangan bagi penyusunan semula dokumen COC, yang dilihat sangat penting bagi pihak terlibat dalam tuntutan bertindih itu dan untuk mengatasi kelemahan Deklarasi Mengenai Kod TataLaku (DOC) yang ditandatangani pada 2002.

DOC yang bertujuan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, belum berhasil untuk memenuhi misinya membangun rasa saling percaya antara negara-negara yang terlibat di dalam konflik berkenaan.

China, Taiwan dan empat negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam membuat tuntutan wilayah di kawasan Laut China Selatan yang menimbulkan pertikaian berpanjangan.

China sebelum ini telah memberi jaminan untuk menyelesaikan isu tuntutan wilayah di kawasan Laut China Selatan itu secara rundingan dan bukannya kekerasan.

Terdahulu, Hamzah berpendapat imej negara sebagai pengasas dan peneraju isu semasa di rantau Asia Tenggara dapat ditingkat dengan kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN.

Katanya, Malaysia juga mendapat kelebihan untuk memainkan peranan lebih aktif dan berkesan dalam menzahirkan pandangannya kepada ketua negara ASEAN, sekali gus dapat mempertahankan kepentingan negara. — Bernama

Advertisement