Anda di sini

18 lelaki ditahan leka bermain judi belangkas

Advertisement

ALOR SETAR: Sebanyak 18 kaki judi yang sedang leka bermain ‘judi belangkas’ ditahan dalam operasi di sebuah rumah di Padang Serai, Kulim awal pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata, dalam serbuan pada jam 1.30 pagi itu, polis turut merampas wang tunai RM23,173 serta pelbagai alat seperti meja panjang berlapik kanvas, mangkuk aluminium, piring, seramik serta buah dadu.

“Kesemua lelaki itu berusia lingkungan 20 dan 60 tahun, merupakan rakyat tempatan berasal dari Kedah dan Pulau Pinang.

“Ini kali pertama rumah ini diserbu dan kesemua tahanan masih direman,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah semalam.

Kes disiasat mengikut seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu Zakaria berkata bagi tempoh Januari hingga Februari lepas, sebanyak 177 orang ditahan berkaitan loteri haram dan 431 orang bagi kes judi menggunakan mesin, di Kedah melibatkan rampasan 159 mesin judi. — Bernama

Advertisement