Anda di sini

Nelayan serah penyu cedera kepada TUMEC Rantau Abang untuk rawatan

Advertisement

DUNGUN: Dua ekor penyu yang ditemui cedera oleh sekumpulan nelayan pada akhir tahun lepas, telah diserahkan ke Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) Rantau Abang di sini, untuk diberikan rawatan.

Ketua TUMEC Syed Abdullah Syed Abdul Kadir berkata pihaknya menghargai usaha yang dilakukan sekumpulan nelayan berkenaan dan langkah tersebut adalah contoh terbaik kerana mereka mempunyai kesedaran melindungi haiwan terancam itu.

Katanya kedua-dua penyu yang ditemui dalam kejadian berasingan itu, mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki pendayung hadapan kerana terperangkap di dalam pukat.

“Jarang nelayan datang serahkan penyu yang cedera kepada TUMEC. Biasanya haiwan ini dibunuh. Ini menunjukkan masih terdapat keprihatinan dalam kalangan nelayan terhadap penyu dan patut dicontohi oleh semua nelayan di negara ini,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Syed Abdullah yakin penyu jenis Penyu Agar (Chelonia mydas) dan Penyu Lipas (Lepidochelys olivacea) yang berumur lingkungan lima hingga enam tahun itu, berkemungkinan besar mati kelemasan dalam pukat sekiranya nelayan lambat menyelamatkan haiwan tersebut.

 

Beliau berkata TUMEC  kini masih memberi rawatan dan penyu terbabit akan dilepaskan semula ke laut setelah benar-benar pulih.— Bernama

“Alhamdulillah, kedua-dua ekor penyu itu sekarang berada dalam keadaan baik dan stabil,” katanya.

Menurut rekod Jabatan Perikanan, beliau berkata kadar kematian penyu di Terengganu adalah antara 30 dan 40 ekor setiap tahun dan fenomena itu amat menyedihkan. — Bernama

Advertisement