Anda di sini

Marathon Antarabangsa Sarawak Bintulu 2015

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ut //

Perkara keselamatan, kesihatan peserta perlu ditekankan

BINTULU: Perkara membabitkan keselamatan dan kesihatan perlu ditekankan untuk para peserta terutama dari luar negara yang menyertai Marathon Antarabangsa Sarawak Bintulu 2015 yang dijadual berlangsung pada 22 Mac (Ahad) akan datang.

Residen Bahagian Bintulu, Muhamad Yakup Kari berkata, isu mengenai keselamatan dan kesihatan tidak wajar diambil ringan memandangkan ia membawa kesan langsung kepada Bintulu dan negeri ini.

Justeru itu, beliau berharap semua prosedur dapat dipatuhi memastikan segala elemen tersebut diambil kira sekali gus  mampu membantu melancarkan penganjuran acara tersebut.

“Kita perlu sentiasa berwaspada memandangkan penyertaan dalam acara ini turut membabitkan peserta dari seluruh dunia.

“Sekiranya tidak berbuat demikian boleh membawa kesan langsung kepada Bintulu dan Sarawak,” katanya pada sidang media acara Marathon Antarabangsa Sarawak 2015 anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan Asia Tourism Alliance Sdn Bhd di sini semalam.

Beliau berkata, Pentadbiran Bahagian Bintulu amat mengambil berat berkaitan isu-isu keselamatan dan kesihatan disebabkan itu penganjuran acara itu perlu dijamin selamat bukan sahaja untuk penduduk tempatan bahkan orang luar menyertainya.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Asia Tourism Alliance Sdn Bhd, Kho Sze Min berkata setakat ini sambutan acara itu amat menggalakkan daripada peserta antarabangsa dengan jumlah terkini mendaftar lebih 1,000 orang.

Katanya, penyertaan peserta dari negara Brunei Darussalam adalah paling ramai diikuti Jerman dan Jepun.

Kho berkata, jarak laluan penuh marathon itu adalah sepanjang 42 kilometer (km) di laluan kawasan bandar Bintulu dan  berharap lebih banyak penaja menaja acara ini.

“Kami turut menjangkakan penyertaan peserta dari Kenya bukan datang terus dari negara mereka tetapi merupakan pelajar yang melanjutkan pengajian di pusat pengajian tinggi di wilayah Asean,” ujarnya.

Beliau berkata, pelepasan peserta acara itu bermula di Lapangan Terbang Lama Bintulu melalui Jalan Sebiew, Tun Hussein Onn, Jalan Nyabau, Jalan JKR, Jalan Kidurong, Jalan Tanjung Batu serta laluan ke Universiti Putra Malaysia (UPM)Kampus Bintulu yang menawarkan pemandangan hijau menarik dan peserta juga bakal mendaki beberapa buah bukit.

Katanya, beberapa peserta tempatan pernah memenangi kejuaraan dalam acara seumpamanya menjalani latihan di sini akan turut mencabar peserta lain dalam acara itu.

“Kami berharap melalui penganjuran acara marathon itu akan meletakkan Bintulu sebagai destinasi pelancongan sukan,” katanya.

Acara itu membabitkan marathon penuh dengan jarak 42 km, marathon separuh (21 km), terbuka (10 km) dan `fun run’ (5 km).

Penaja Emas acara itu ialah Sarawak Energy Berhad dan rakan rasmi teknikal ialah Persatuan Olahraga Amatur Sarawak termasuk BDA dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatur sekatan laluan dirancang menurut spesifikasi antarabangsa.

Penaja papan iklan dan bunting ialah Oil Town Signcraft dan rakan media iaitu Running Malaysia Magazine & Run Society of Singapore bersama Lembaga Pelancongan Sarawak dan Pelancongan Malaysia ASEAN sebagai pasukan pemasaran antarabangsa memain peranan penting dalam membawa masuk pelari marathon antarabangsa.

Nestle Milo, Fitnesse dan Revive merupakan penaja rasmi minuman untuk pelari marathon termasuk akan dibantu oleh sukarelawan, manakala Farley Mini Market menyediakan koleksi pek larian dan Lapangan Terbang Lama sebagai venue peserta.

Keterangan lanjut akan diumumkan di www.ata.my atau laman facebook di www.facebook.com/Asiatourismalliance.com.

Advertisement