Anda di sini

Skuad Ngap Sayot tidak ‘cuak’

Advertisement

Oleh Harry Ilias//

SUNTIKAN SEMANGAT: Pemain-pemain mendengar taklimat daripada Alberts sebelum memulakan sesi latihan.

Semangat juang tinggi semua pemain senjata mereka berdepan JDT pada malam ini

KUCHING: Status skuad gergasi, Johor Darul Takzim (JDT) tidak menggentarkan Sarawak menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Johor Bahru malam ini.

Pengendalinya, Robert Alberts berkata JDT tetap memiliki kelemahan dan ini dibuktikan dengan permulaan kurang baik mereka pada saingan Liga Super selain tersingkir Piala FA selepas tewas di tangan Pahang, Isnin lalu.

“Kita akui JDT memiliki ramai pemain berstatus bintang. Namun, tidak semestinya mereka mampu beraksi dengan baik sebagai sebuah pasukan.

“Pada saya, kekuatan sebuah pasukan itu bergantung kepada sikap positif dan semangat harmoni ditunjukkan semua pemain. Itu senjata yang akan kita bawa untuk menentang JDT Sabtu ini (malam ini),“ katanya di sini semalam.

Menurutnya, berdasarkan statistik semasa kedua-dua pasukan permulaan Sarawak jauh lebih baik kerana setakat ini mereka belum kalah selepas melalui tiga perlawanan sementara JDT tewas sekali di tangan PDRM pada bulan lalu.

Justeru itu, beliau meminta anak-anak buahnya agar memberikan persembahan terbaik untuk memastikan rekod tanpa kalah terus kekal.

Keyakinan itu kian menebal setelah JDT dilaporkan kehilangan beberapa tonggak utama akibat kecederaan.

“Kita tetap menjangkakan tentangan sengit JDT kerana mereka sudah tentu mahu bangkit selepas tersingkir daripada saingan Piala FA.

“Tambahan pula, mereka akan bermain di laman sendiri dan peluang terbaik untuk mengutip mata penuh.

“Namun, saya percaya JDT juga berasa tertekan kerana mereka sedar kita tidak akan memberi laluan mudah,” ujarnya.

Seperti JDT, Sarawak juga akan turun dengan barisan terkuat dalam usaha mencuri mata penuh dari Johor malam ini.

Cuma menggelisahkan Alberts ialah pemain-pemain yang akan menggalas tugas di barisan pertahanan selepas Ronny Harun tidak dapat bersama kerana demam.

Bagaimanapun, penyerang utama Billy Mehmet, Mohd Shahrol Saperi, Ivan Fatic dan Mohd Fadzley cergas justeru dapat diturunkan malam ini.

Barisan kemungkinan malam ini Joseph Kalang Tie, Mohd Fadzley Abdul Rahim, Mohd Dzulazlan Ibrahim, Ashri Chuchu, Mohd Hairol Mokhtar, Rames Lai Ban Huat, Mohd Shahrol Saperi, Ryan Alan Griffiths, Billy Mehmet, Ronald Hikspoors (Ivan Fatic).

 

 

 

Advertisement