Anda di sini

SK Tatau mengungguli Kejohanan Balapan dan Padang MSSR Tatau

Advertisement

JUARA: Zaiedy (dua kiri) menyampaikan piala pusingan kepada Guru Besar SK Tatau, Janudin Ab Rahman (dua kanan) sambil disaksikan oleh Mohadi (kiri) kelmarin.

BINTULU: Sekolah Kebangsaan (SK) Tatau muncul juara keseluruhan dengan meraih 11 emas, lima perak dan lapan gangsa pada Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Rendah (MSSR) daerah Tatau di Stadium Mini Bintulu Selasa lalu.

Naib juara disandang SK Kuala Muput meraih empat emas, lapan perak dan tiga gangsa diikuti tempat ketiga SK Nanga Penyarai memperolehi empat emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Shero Shelly dari SK Rumah Barrau dinobatkan sebagai atlet lelaki terbaik dan Aida Fahmieze Azmi (SK Tatau) merangkul atlet wanita terbaik.

Anugerah olahragawan disandang Slvester Umpang (SK Sg Bagiau) dan anugerah Olahragawati milik Sonita Chau (SK Kuala Muput).

Sebanyak 15 sekolah rendah daerah Tatau menyertai kejohanan itu melibatkan 362 peserta, 129 guru dan 60 pegawai teknikal dengan keseluruhan 551 orang.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu, Zaiedy Nor Abu Nasir berkata, penyertaan sukan peringkat awal merupakan landasan mendidik anak-anak berjaya dalam bidang itu sekali gus merintis kejayaan atlet terjun negara, Pandelela Rinong, atlet pecut negara, Watson Nyambek dan petinju terbaik negara, Sapok Biki.

“Anak-anak Sarawak cukup hebat. Ramai mengharumkan nama negara meskipun kemudahan sukan di beberapa tempat negeri ini agak kurang berbanding Semenanjung Malaysia tetapi anak Sarawak masih boleh menempah nama dalam acara sukan di persada antarabangsa,” katanya pada penutupan kejohanan itu.

Beliau mencadangkan daerah Tatau dibina stadium dan meminta Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Tatau memohon dengan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing agar menyokong cadangan itu bagi memajukan bidang sukan di daerah itu.

Terdahulu Pegawai PPD Tatau, Mohadi Mubin berkata tahun lalu daerah Tatau muncul juara keseluruhan MSSR Peringkat Bahagian Bintulu yang mana Martha Dusit dari SK Kuala Annau Tatau dipilih mewakili Sarawak pada Kejohanan Balapan dan Padang MSSR Peringkat Kebangsaan di Perlis dalam acara pecut 100 meter dan 200 meter.

“Daerah Tatau turut melahirkan atlet mewakili Malaysia pada Sukan SEA iaitu Jonathan Tinggang dalam acara lompat tinggi yang memecahkan rekod Sarawak setinggi 2.11 meter,” katanya.

Hadir sama Penolong Pegawai PPD Tatau Muhd Nor Abdullah @ Tana, Pengetua SMK Tatau Umpang Keling, Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan PPD Bintulu Awang Ali Udin Awang Adenani, Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Tatau, Tony Madup dan guuru-guru besar dari 15 sekolah rendah di Tatau.

 

 

Advertisement