Anda di sini

Pondok Polis Komuniti dijangka dilaksana

Advertisement

Oleh Jeremy Lanson//

MESRA: Sabtu berjabat tangan dengan tetamu yang hadir pada Majlis Ramah-Tamah Tahun Baharu Cina malam kelmarin.

KUCHING: Sarawak dijangka menubuhkan Pondok Polis Komuniti di beberapa taman perumahan yang terpilih dengan menyaksikan Bahagian Kuching sebagai permulaan.

Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, pondok tersebut yang juga merupakan rumah anggota polis di sebuah taman perumahan sudah mula dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

“Dalam perkara ini, kita akan memberi arahan kepada semua ketua Polis Daerah (KPD) untuk mengenal pasti anggota di taman-taman perumahan dan jika tidak ada, maka kita akan melantik seorang anggota tinggal di sana.

“Pondok Polis Komuniti ini sememangnya sudah ada di Semenanjung tetapi belum lagi ditubuhkan di Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah-Tamah Tahun Baharu Cina (TBC) di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di sini, malam kelmarin.

Tambah Sabtu, bagi anggota polis yang dilantik untuk tinggal di sesebuah taman perumahan itu, maka bayaran perumahan mereka akan dibayar kerajaan, malah keluarga mereka juga boleh tinggal bersama.

“Dari segi tugasnya, anggota itu bertugas dari rumah di mana beliau akan menjaga serta bertanggungjawab ke kawasan perumahan yang didiami. Beliau bertanggungjawab bagi perkara berkaitan hal ehwal polis.

“Sekiranya ada penduduk yang mahu membuat laporan polis juga boleh tampil ke rumah anggota berkenaan sebelum tindakan selanjutnya akan diambil oleh ibu pejabat,” katanya.

Sabtu menegaskan bagaimanapun pelaksanaan Pondok Polis Komuniti itu mungkin bukan dalam masa terdekat kerana ia memerlukan banyak proses selain perlu menunggu kelulusan.

Beliau memberitahu sebagai permulaan pihaknya mencadangkan ia ditubuhkan di Kuching dahulu, malahan setakat ini kita belum lagi mengenal pasti nama anggota dan kawasan.

“Pelaksanaan mungkin bukan dalam masa terdekat dan kalau sudah bersedia kita akan melaksanakannya namun ia masih memerlukan beberapa proses seperti bayaran perumahan, kontrak bersama tuan rumah jika ia disewa dan sebagainya.

“Saya akan berusaha, dan diharapkan akan dapat terlaksana dalam tahun ini,” katanya.

 

 

Advertisement