Anda di sini

Piala Presiden 2015: Sarawak tewas lagi

Advertisement

KUCHING: Skuad bawah 21 tahun Sarawak terus terkial-kial mencari kemenangan pertama dalam saingan Piala Presiden 2015.

Skuad bimbingan Johnny Dominicus sekali lagi tersungkur kali ini di tangan Selangor dengan 0-1 dalam perlawanan Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Mini Kuala Selangor kelmarin.

Meski menampilkan corak permainan meyakinkan di awal perlawanan, barisan penyerang Sarawak gagal menembusi benteng pertahanan lawan.

Sebaliknya, Selangor yang tertekan dengan asakan Sarawak berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-44 di separuh masa pertama.

Babak kedua semakin menarik dengan Sarawak terus menguasai permainan dalam usaha mencari jaringan penyamaan.

Namun, ketandusan idea terus menjadi duri dalam daging pemain Sarawak lantas menyaksikan mereka akur dengan keputusan itu hingga berakhir perlawanan.

“Kita bermain dengan baik dan menguasai permainan. Corak permainan kita juga lebih teratur berbanding lawan.

“Namun jentera serangan kurang menyengat dan banyak mensia-siakan deretan peluang,” ujar Johnny mengulas perlawanan itu semalam.

Ia kekalahan ketiga Sarawak dalam kempen Piala Presiden selepas tewas di tangan T-Team (3-1) dan Terengganu (2-1) pada perlawanan sebelum ini.

Setakat ini, Sarawak hanya mengutip satu mata hasil seri 4-4 dengan Pahang.

Mereka akan menentang ATM pada 11 Mac (Rabu) di gelanggang lawan.

Advertisement