Anda di sini

Pelabuhan perikanan beri manfaat kepada nelayan

Advertisement

Oleh Jessica Jawing //

Pelabuhan Perikanan LKIM di Tg Bako tempatkan nelayan Zon A, B, C dan sebagainya

UNTUK KEMUDAHAN: Ismail (tiga kiri) bersama Jabu (dua kiri) yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni (kiri) mendengar taklimat daripada pegawai berkaitan semasa lawatan tapak Pelabuhan Perikanan LKIM di Kampung Tanjung Bako di Kuching, semalam.

KUCHING: Lebih 2,000 nelayan di Kuching dan sekitarnya akan mendapat manfaat daripada kemudahan dan pengkomersialan selepas pembinaan Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kampung Tanjung Bako siap pada tahun 2017.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelabuhan bersepadu yang mempunyai dua fasa itu akan menempatkan semua nelayan  Zon A, B, C dan sebagainya.

“Projek ini bermula pada 22 Julai 2014 dan akan siap pada 22 Julai 2017.

“Sebaik sahaja projek ini siap semua pelabuhan nelayan di Kuching dan kawasan sekitarnya akan ditutup dan kapal nelayan berpindah ke sini.

“Kita dimaklumkan bahawa seramai 2,900 nelayan di Kuching dan sekitarnya dan fasa pertama pembinaan akan menyediakan kemudahan seperti penyelenggaran pukat, tempat menyimpan kotak ikan, bilik sejuk beku dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat mengenai pembinaan projek di tapaknya yang dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang di Kampung Tanjung Bako di sini.

Ismail berkata fasa pertama itu membabitkan keluasan tanah 42.6 ekar dan menelan kos RM247 juta selain mampu menampung 20,000 tan metrik keluaran.

Sementara itu kata beliau, fasa kedua pembinaan akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

“Fasa kedua membabitkan pembinaan restoran makanan laut, blok kediaman, kilang memproses ikan dan ia lebih kepada komersial.

“Fasa kedua ini melibatkan keluasan 23.6 ekar. Sehingga kini kita mempunyai empat pelabuhan yang mempunyai kemudahan seperti ini iaitu dua di Sarawak, di sini (Kampung Tanjung Bako) dan Tanjung Manis sementara dua lagi di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berharap dengan terbinanya pelabuhan itu nanti ia akan memberi kemudahan dan manfaat kepada nelayan-nelayan di Sarawak khasnya di Kuching.

Advertisement