Anda di sini

Dakwaan Sibu tiada pembangunan disangkal

Advertisement

SIBU: Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh menyangkal dakwaan sesetengah pihak mengatakan Sibu kini tidak mempunyai sebarang pembangunan.

Menurut Wong, pelbagai projek pembangunan telah dan akan dilaksanakan di Sibu sejak tahun 2006.

“Semua perancangan telah kami buat sejak 2006 malah ada yang telah berjaya dilaksanakan,” ujarnya kepada pemberita, malam kelmarin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat itu memberitahu, projek Jalan Sibu-Tanjung Manis merupakan projek paling sukar untuk dilaksanakan.

Selain itu katanya, projek pembesaran terminal Lapangan Terbang Sibu turut memberi cabaran kepada mereka.

“Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) juga telah dibina. Rancangan Tebatan Banjir Sibu juga telah dilaksanakan. Semua yang kami rancang sebelum ini telah dilaksanakan dengan jayanya.

Meskipun beliau satu-satunya daripada tujuh ahli Pasukan Pembangunan Berwawasan Barisan Nasional (BN) Sibu yang masih tinggal, Wong memberitahu bahawa beliau tidak menyesal kerana telah berjaya menyampaikan semua projek pembangunan itu kepada rakyat.

Namun katanya, masih banyak perkara yang perlu dilakukan dan semua pihak perlu bekerja keras untuk kepentingan semua penduduk Sibu.

“Kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan untuk mencapai semua ini,” jelasnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan.

Dalam perkembangan lain, presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) itu memberitahu, UPP sentiasa berusaha menyelesaikan sesuatu isu yang melibatkan masyarakat dengan persetujuan semua serta dengan semangat BN.

Ini katanya, termasuk projek menamakan Jalan Hospital kepada Jalan Lau King Howe serta Dataran Bandar Sibu kepada Dataran Tuanku Bujang.

“Semua ini dilakukan dengan semangat bertolak ansur serta persetujuan semua pihak yang akhirnya semua berasa gembira. Kami mahu masyarakat Melayu gembira, begitu juga dengan masyarakat Cina.

Beliau juga memberitahu, semua pihak juga perlu menghormati latar belakang sejarah sesuatu tempat itu sebelum menukar nama tempat terbabit.

Advertisement