Anda di sini

Alberts lega pemain beransur pulih

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Ronny bergelut untuk cergas sepenuhnya, besar kemungkinan tidak diturunkan menentang JDT esok

SEMAKIN PULIH: Penjaga gol Aidil Mohamad terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum memulakan latihan di Padang C semalam.

KUCHING: Pengendali Sarawak, Robert Alberts menarik nafas lega selepas beberapa pemain utama semakin pulih dari masalah demam yang melanda skuadnya sejak minggu lepas.

Tegasnya, perkembangan positif itu memberi tonik kepada Sarawak ketika mereka sedang bersiap sedia untuk menjadi tetamu skuad gergasi, Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos pada Sabtu ini.

Menurutnya, keadaan Billy Mehmet, Ivan Fatic, Shahrol Saperi dan Mohd Fadzley Abdul Rahim yang sebelumnya dibelenggu masalah demam menunjukkan tanda-tanda positif untuk pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

Penjaga gol kedua, Aidil Mohamad yang turut mengalami nasib serupa juga dijangka pulih sepenuhnya meskipun sebelum sesi latihan semalam terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Cuma pemain pertahanan Ronny Harun dilihat masih bergelut untuk cergas sepenuhnya dan besar kemungkinan tidak diturunkan.

“Tonik untuk skuad selepas Billy, Ivan, Fazley dan Shahrol dilihat semakin pulih dari masalah demam.

“Namun, saya masih ragu-ragu samada mahu menurunkan Ronny kerana keadaannya masih belum mengizinkan.

“Kita tidak mahu menurunkan pemain yang tidak cergas kerana perlawanan Sabtu ini cukup penting,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Padang C semalam.

Menurut Alberts, beliau amat berharap Ronny dapat diturunkan kerana menyedari Sarawak bakal berdepan tugas berat untuk mengekang asakan penyerang JDT.

“Saya masih mempunyai ramai pemain yang dapat digunakan. Namun, kita harus memastikan pemain yang tepat diturunkan kerana JDT bukanlah lawan yang mudah.

“Kita sedar JDT akan menurunkan barisan terkuat mereka demi untuk menebus kekecewaan selepas tersingkir dari saingan Piala FA.”

Alberts pada masa sama tidak menolak kemungkinan untuk melakukan rombakan kecil sekiranya keadaan pemain utama masih tidak mengizinkan.

Bagaimanapun ia bergantung kepada tahap kecergasan pemain pada Sabtu nanti.

Sementara itu, perlawanan antara JDT dan Sarawak turut disiar secara langsung menerusi saluran TV3 pada jam 8.45 malam.

Sarawak ketika ini menduduki tangga kenam manakala JDT di tangga ketujuh.

Advertisement