Anda di sini

LTdL 2015: Kehadiran pelumba import bantu perkukuhkan TSG

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Kehadiran pelumba import dari Singapura Goh Choon Huat diharap dapat membantu pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) untuk menampilkan aksi terbaik pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015, yang akan bermula Ahad ini.

Ketua pasukan TSG Mohd Zamri Salleh percaya kehadiran bekas pelumba OCBC Singapore Continental Cycling Team itu yang mempunyai kelebihan tersendiri berbanding pelumba tempatan lain, mampu memperkuatkan TSG pada kejohanan tersebut.

“Pada LTdL tahun lepas, pelumba bertubuh kecil itu berjaya mengekalkan jersi pendahulu Asia dari peringkat pertama hingga ke Genting Highlands,” katanya pada sidang media selepas memperkenalkan enam pelumba TSG yang akan menggalas cabaran pada LTdL edisi ke-20 itu, di sini semalam.

Mohd Zamri berkata walaupun pertama kali menyertai TSG, Goh sudah menyatakan kesediaan untuk beraksi bersama pasukan berkenaan pada LTdL 2015 melibatkan lapan peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,109.9 kilometer.

Selain Mohd Zamri dan Goh, empat lagi pelumba berpengalaman yang bakal membawa cabaran TSG pada LTdL 2015 ialah Mohd Harrif Salleh, Anuar Manan, Mohamad Adiq Hussaini Othman dan Mohd Saiful Anuar Aziz.

Pasukan TSG dibimbing jurulatih dari Perancis, Sebastien Duclos dan pengurus pasukan, Zhen Yu Feng dari Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Mohd Zamri berkata barisan pelumba TSG baru pulang daripada menjalani latihan selama tiga minggu di Chiangrai, Thailand sebagai persiapan menghadapi LTdL 2015.

“Kalau kita lihat, persiapan tahun ini lebih baik serta mantap dan kita akan buat yang terbaik untuk meraih kemenangan podium setelah kita gagal berbuat demikian pada LTdL tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, Anuar Manan berkata beliau dan rakan-rakan sudah bersedia 100 peratus untuk menghadapi kejohanan tersebut.

Beliau berkata barisan pelumba TSG kali ini, adalah yang terbaik dan berharap tiada insiden seperti kemalangan yang boleh menjejaskan sasaran mereka untuk meraih kemenangan podium. — Bernama

Advertisement