Anda di sini

Mata rabun tetapi otak bergeliga

Advertisement

Oleh Jessica Jawing //

Philip Ting antara pelajar cemerlang dapat A semua mata pelajaran

Philip Ting antara pelajar cemerlang SPM 2014, raih A dalam semua mata pelajaran.

KUCHING: Meskipun mempunyai perbezaan dari segi penglihatan, seorang calon berkeperluan khas (rabun), Philip Ting antara pelajar cemerlang SPM 2014 yang mendapat A dalam semua mata pelajarannya.

Pelajar SMK Sungai Maong itu memperoleh 9A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Kimia, Matematik, Matematik Tambahan, Biologi, Pendidikan Moral dan Fizik.

Kata anak bongsu daripada dua beradik itu, walaupun mengalami masalah untuk melihat papan tulis dengan jelas tetapi ia tidak menyebabkannya ketinggalan aktiviti pengajaran dalam kelas.

“Semasa dalam kelas saya tidak dapat melihat tulisan di papan hitam tetapi saya lebih kepada memberi perhatian dengan mendengar apa yang diajar.

“Pada saya, mendengar adalah lebih baik kerana kita lebih memahami berbanding dengan hanya menulis nota.

“Mendengar dan menulis nota sahaja adalah dua perkara tidak sama,” katanya.

Ting berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman SPM 2014 Peringkat Negeri oleh Pengarah Pendidikan Negeri Serina Sauni dan dihadiri Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah di sini, semalam.

Mengulas mengenai rahsia kejayaannya, Ting berkata dia sentiasa memberi tumpuan terhadap setiap mata pelajaran terutama yang diminatinya.

Ia katanya bukan sekadar untuk mendapat lulus dalam peperiksaan tetapi perlu memahami secara keseluruhan mata pelajaran itu.

“Saya meluangkan masa kira-kira dua jam setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran.

“Saya mengulang kaji pelajaran pada jam 3 hingga 5 petang,” katanya.

Dia turut menghadiri kelas tuisyen dan meluangkan masa bermain permainan computer pada waktu santainya.

“Bagaimanapun saya berterima kasih kepada kawan-kawan yang banyak membantu, di mana saya perlu menyalin nota daripada mereka, saya juga amat menghargai bantuan guru yang membimbing saya,” katanya.

Ting yang bercita-cita menjadi jurutera, berharap dapat melanjutkan pengajian ke Curtin University di Miri dengan kursus yang menjurus kepada bidang kejuruteraan.

CEMERLANG: Ting membaca keputusan yang diperolehinya semasa menerima sijil keputusan SPM sambil disaksikan Fatimah dan ibu Ting, Grace Huang (kanan) yang turut mengiringinya.

Sementara itu seorang lagi pelajar cemerlang SPM, Nabilah Asyiqin Azman berkata dia amat gembira kerana tidak menjangkakan keputusan yang dicapainya itu.

Kata anak kedua daripada tujuh beradik itu, dia hanya menjangkakan beberapa mata pelajaran yang lulus cemerlang.

Namun pelajar SM Sains Kuching itu berjaya memperoleh sembilan A dalam semua mata pelajaran yang diambilnya.

“Saya pada mulanya memang tidak menjangkakan beberapa mata pelajaran lulus dengan cemerlang dan saya amat gembira kerana berjaya mencapai kecemerlangan ini,” katanya.

Antara rahsia kejayaannnya kata Nabilah adalah belajar berkumpulan bersama rakan-rakannya selain menghadiri kelas tuisyen.

“Saya juga menghadiri kelas tambahan di sekolah dan kebanyakan masa sememangnya penuh dengan jadual mengulang kaji,” kata Nabilah.

Mengenai hala tujunya selepas ini, dia berhasrat melanjutkan pengajian ke Kolej Pendidikan INTEC di Shah Alam, Selangor dalam bidang berkaitan kimia.

Selain itu katanya, dia mengikut jejak langkah abangnya yang kini menuntut di INTEC dalam jurusan kejuruteraan mekanikal.

“Selepas pengajian nanti jika tidak ada halangan, saya mahu melanjutkan pengajian ke luar negara bagi mempertingkatkan pengetahuan saya,” katanya.

INI KEPUTUSANNYA: Nabilah (kanan) menunjukkan keputusan yang diperolehinya kepada rakan sekolahnya yang juga pelajar cemerlang SPM, semalam.

Advertisement