Anda di sini

Kejayaan Fang Wei hasil belajar secara konsisten

Advertisement

KUCHING: Kejayaan lulus cemerlang Lim Fang Wei adalah hasil keringat belajar secara konsisten sehingga meraih keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas.

Fang Wei yang merupakan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang dan anak ketiga daripada sembilan beradik memperoleh keputusan 6A+ 1A 2A-.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini dan hanya belajar dengan rajin serta perlu pandai membahagikan masa, lagipun saya memang konsisten membuat ulang kaji untuk beberapa jam pada sebelah petang setiap hari selepas sekolah,” katanya kepada pemberita semalam.

Dia yang aktif dalam Persatuan Kadet Polis, Kelab Catur dan ICSF telah memendam hasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat matrikulasi yang katanya turut meminati mata pelajaran Fizik kerana bercita-cita menjadi jurutera aeronautik suatu hari nanti.

Ibunya Wong Leh Hee, 47, berkata anaknya itu bukan jenis yang nakal.

Beliau sendiri sering menghantar Fang Wei ke sekolah setiap hari dan tidak pernah memberi sebarang hadiah untuk keputusan cemerlang yang diperolehinya sebelum ini.

“Tetapi, saya ada berjanji untuk membeli sebuah komputer riba untuknya sekiranya lulus ujian SPM kali ini,” tambahnya.

Setakat ini keputusan kemasukan ke matrikulasi belum lagi diterima dan Fang Wei sudah bekerja sambilan untuk mencari wang saku.

Brenda Kucha Ganeng pula berterima kasih kepada Tuhan dan keluarga kerana berpuas hati dengan keputusan 6A+ 2A 1A- yang diperolehinya.

Dia percaya telah berusaha segigih mungkin untuk mendapat apa yang diperolehinya hari ini.

Brenda juga mendapat keputusan lulus cemerlang bagi SPM, sudah menanam hasrat untuk menjadi seorang pakar pediatrik dan sedang menjalani kursus diploma vokal dan muzik di sini.

Sementara itu, Muhammad Jeffery Bujang Man seorang pelajar khas rabun di sekolah terbabit mendapat keputusan SPM 1B+ 1B 2C 2D berpuas hati dengan keputusannya walaupun gagal dalam mata pelajaran Matematik.

Dia mengalami kesukaran membaca rumusan atau diagram kod Braille yang tidak sama sebagaimana yang diajar kepada pelajar normal.

Jeffery yang berasal dari Spaoh telah menuntut di SMK Batu Lintang sejak sekolah rendah, begitu menyukai sekolahnya dan mahu meneruskan persekolahan hingga ke tingkatan enam selepas ini.

“Ini kerana peringkat tingkatan enam sangat singkat waktunya berbanding di universiti, nanti baharu saya akan fikirkan hendak tuju ke mana selepas habis STPM.

“Saya sangat gembira dengan keputusan SPM ini walaupun ia mungkin tidak begitu baik,” katanya.

Pada masa yang sama, SMK Batu Lintang mencatat keputusan GPA 89.08 peratus dengan GPS 3.85 termasuk pelajar pendidikan khas yang menduduki ujian SPM pada 2014 lalu.

Advertisement