Anda di sini

Tanah bencah destinasi pelancongan berpotensi

Advertisement

Taman Negara Tanah Bencah Kuching berpotensi besar menjadi destinasi pelancongan popular

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Taman Negara Tanah Bencah Kuching berpotensi besar menjadi destinasi pelancongan popular, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.

Beliau berkata sekitar kawasan itu juga menjadi tumpuan populasi buaya selain pokok perpat yang banyak menjadi makanan utama orang belanda (monyet).

Lebih menarik lagi menurutnya, pelancong yang meminati ikan lumba-lumba juga berpeluang melihat secara lebih dekat spesies berkenaan apabila berkunjung ke taman negara tersebut.

“Setiap hari dianggarkan empat hingga lima bot membawa pelancong menyusuri sungai di taman negara ini untuk menikmati keindahan flora dan fauna.

“Boleh dikatakan persekitaran kawasan taman negara ini memiliki banyak keunikan yang tidak terdapat di tempat lain,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Tanah Bencah Sedunia 2015 Peringkat Negeri Sarawak di sini, semalam.

Dr Abdul Rahman berkata, tarikan lain termasuk kelip-kelip dan burung berhijrah yang sukar dijumpai di tempat lain.

“Lokasi taman negara ini juga dekat dengan pusat bandar raya (Kuching) dan menjadikannya senang untuk dilawati dan diangkat sebagai destinasi pelancong yang popular,” ujarnya.

Menurutnya, kempen kesedaran di kalangan generasi muda perlu ditingkatkan mengenai kepentingan kawasan tanah bencah kepada kehidupan manusia.

“Ini penting untuk memastikan generasi muda dapat menyebarkan maklumat mengenai kepentingan tanah lembap,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hutan Said Gapar berkata, Jabatan Hutan Sarawak akan terus komited menghijaukan kawasan taman negara tersebut dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti.

“Sasaran kami ialah untuk melibatkan semua pihak dalam menentukan hala tuju pengurusan taman ini agar dapat dilaksanakan dengan baik dan lestari,” jelasnya.

Taman Negara Tanah Bencah Kuching mempunyai keluasan 6,610 hektar dan mendapat status Tapak Ramsar pertama di Sarawak pada 8 November 2005.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Perhutanan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Dr Khairul Naim Adham.

 

Advertisement