Anda di sini

Adenan mampu bawa tadbir urus baik, kata Najib

Advertisement

SELAMAT TAHUN BAHARU: Najib turut menyampaikan angpau kepada warga emas yang hadir pada Majlis Ramah-Tamah TBC MBKS yang dihadiri ribuan pengunjung pada malam kelmarin.

Gaya kepimpinan unik, sederhana diyakini mampu bawa tadbir urus baik kepada Sarawak

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Gaya kepimpinan unik serta sederhana Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem diyakini mampu membawa urus tadbir yang baik kepada Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia adalah antara yang ditunjukkan Adenan melalui dasar yang diumumkannya selepas setahun semalam (28 Februari) menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Menteri kelima Sarawak.

“Beliau (Adenan) mempunyai gaya yang unik, itu yang saya dapat lihat dan berjiwa rakyat, seorang sederhana dan merendah diri.

“Ini yang dimahukan sebenarnya oleh rakyat Sarawak termasuk komuniti Cina, di mana usaha beliau untuk memerangi pembalakan haram serta rasuah di negeri ini,” katanya berucap pada Majlis Ramah-Tamah Tahun Baharu Cina (TBC) anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang dihadiri Adenan di sini, malam kelmarin.

Tambah Najib, dengan sikap sederhana dan merendah diri Adenan itu mampu meraih sokongan komuniti Cina, yang mahukan urus tadbir baik termasuk menjaga keamanan dan kestabilan dengan menghindari ekstremis.

“Bagaimanapun saya juga berharap anda (komuniti Cina) terus menunjukkan sokongan anda kepada beliau apabila sudah tiba masanya nanti. Saya rasa anda tahu apa yang saya maksudkan,” katanya.

Kerajaan kata Najib sentiasa mengiktiraf komuniti Cina yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan kejayaan negara khsusnya di Sarawak.

Jelas beliau lagi, di Sarawak penduduknya menghayati perpaduan dalam kepelbagaian etnik, budaya serta gaya hidup yang menjadi kekuatan kepada negeri ini.

“Apabila kita menggembleng kekuatan komuniti, maka boleh menghasilkan kejayaan besar kepada negara,” katanya.

Najib pada masa yang sama mengajak komuniti Cina bersama kaum lain berganding bahu bersama kerajaan khasnya Barisan Nasional untuk membanteras sebarang unsur ekstremisme.

Beliau menegaskan, kerajaan tahu apa yang dimahukan oleh kaum Cina di negara ini iaitu mereka mahukan keamanan dan kestabilan, menolak unsur ekstremisme dan memerangi rasuah.

“Hanya Barisan Nasional sahaja yang mampu menyediakan keamanan dan kestabilan berkenaan.

“BN akan terus memerangi apa sahaja unsur ekstremis dan saya berharap komuniti Cina menyokong di belakang kita,” katanya.

 

Advertisement