Anda di sini

WWTC akan tawar kursus kepada wanita luar bandar

Advertisement

Oleh Patricia Gari //

Ilmu kemahiran perlu untuk jana pendapatan: Fatimah

CERIA: Fatimah (kiri) dan Rosey berinteraksi dengan peserta Kursus Kecantikan & Spa sambil disaksikan yang lain.

KUCHING: Kursus yang terdapat di Pusat Latihan Wisma Wanita (WWTC) akan ditawarkan kepada wanita luar bahagian Kuching terutama wanita luar bandar pada masa akan datang.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata ia bertujuan memastikan wanita luar bandar turut dilengkapi ilmu serta kemahiran yang membantu menjana pendapatan mereka.

“Kita akan memanjangkan penganjuran kursus ditawar WWTC kepada wanita di kawasan lain terutama luar bandar pada masa akan datang.

“Kursus akan diadakan di Wisma Wanita dan mereka perlu menetap di asrama disediakan sepanjang dua hari kursus berlangsung,” katanya sambil menambah usaha itu dilihat dapat merapat jurang sosioekonomi wanita bandar dengan luar bandar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kursus Kecantikan & Spa dan penyampaian sijil peserta kursus WWTC di Wisma Wanita dekat sini semalam.

Menurut Fatimah tiga kursus utama akan ditawarkan ialah Kursus Jahitan Kreatif, Kursus Kecantikan & Spa dan Kursus Masakan.

“Harapan kita selepas menghadiri kursus intensif ini ialah peserta akan menjadi usahanita dengan bermula pada skala kecil-kecilan bagi menambah pendapatan keluarga.

“Kita juga merancang memperkenal kursus mengurut badan pada tahun hadapan atas permintaan wanita sendiri,” katanya.

Beliau memberitahu setakat ini 80 peserta telah menjalani Kursus Kecantikan & Spa anjuran WWTC dengan 20 orang menamatkan kursus semalam.

Setiap sesi pembelajaran iaitu Selasa dan Rabu, jumlah peserta dihadkan kepada 20 orang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita, ibu tunggal dan wanita yang ingin menjana pendapatan tambahan bagi membantu kerajaan.

“Antara kemudahan disediakan kepada peserta sepanjang kursus ialah kit pembelajaran, teori dan amali manakala asrama turut disedia kepada peserta yang tinggal jauh dari pusat latihan ini.

“Pemantauan turut dijalankan oleh Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) terhadap peserta yang telah menjalani kursus.

“Ini bertujuan mengenal pasti peserta berpotensi dibantu bagi mengembangkan kemahiran serta mencari peluang perniagaan melalui rakan kongsi sedia ada,” jelasnya.

WWTC dirasmi pada 9 Oktober 2014 oleh isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu.

Wisma ini berperanan sebagai platform kepada golongan wanita menimba ilmu dan mempelajari kemahiran baharu sekali gus memberi ruang serta peluang kepada mereka menjana pendapatan tambahan.

Pada majlis sama, Fatimah menyerahkan geran pembangunan kepada beberapa NGO wanita di negeri ini.

Hadir sama Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, Pengarah JWKS Noriah Ahmad, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan wakil Serakup Induk Dayak Sarawak (SIDS) Catherine Gramong.

Pusat Latihan Wisma Wanita akan perluas kursus kemahiran kepada wanita luar bandar.

Advertisement