Anda di sini

Golongan kurang bernasib baik tidak dipinggir

Advertisement

Oleh Clare Cinderella //

Pelbagai saluran diguna hulur bantuan, sumbangan kepada golongan itu pada setiap musim perayaan

MIRI: Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan kurang bernasib baik setiap kali tibanya musim perayaan.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata sebaliknya kerajaan menggunakan pelbagai saluran menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada golongan itu pada setiap musim perayaan.

“Tahun ini, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina (TBC) kepada golongan kurang bernasib baik,” katanya ketika menyampaikan sumbangan hamper dan limau mandarin kepada pesakit-pesakit di Hospital Miri.

“Hari ini kita menyampaikan sumbangan hamper bersama JASA manakala bantuan wang tunai berupa angpau TBC daripada JKM.

“Angpau tahun ini ditambah daripada RM50 kepada RM100.

“Ia sudahpun dimasukkan terus ke akaun penerima e-Kasih dan hanya untuk masyarakat Cina yang meraikan TBC sahaja,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata, untuk kaum lain bantuan wang tunai musim perayaan yang sama jumlah juga akan dimasukkan ke dalam akaun mereka apabila tiba musim perayaan mereka.

“Bagi yang meraikan Hari Raya, mereka menerima duit raya dan meraikan Hari Gawai pula menerima duit Gawai menjelang musim perayaan masing-masing,” tambahnya.

Lee memberitahu, kerajaan menerusi agensi kerajaan lain juga menghulurkan bantuan kepada golongan orang kurang upaya (OKU),  warga tua, ibu tunggal dan sebagainya.

Beliau berharap lawatan ke Hospital Miri itu dapat menceriakan pesakit sekali gus mengingatkan mereka tidak pernah dilupakan apatah lagi pada musim perayaan.

“Menurut tradisi kaum Cina, lawatan ke hospital dengan membawa bersama hamper dan limau mandarin merupakan satu cara menyampaikan salam dan menceriakan pesakit.

“Limau mandarin bermaksud nasib baik dengan harapan cepat sembuh dan dapat bersama-sama keluarga,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Lee berkata kerajaan menggalakkan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan dan badan-badan sukarela mengadakan program musim perayaan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Sementara itu, Pegawai JASA Miri Lukanisman Awang Sauni yang mengiringi Lee ke Hospital Miri semalam, memberitahu bahawa pihaknya mengagihkan 30 hamper berupa makanan kesihatan untuk para pesakit.

“Program itu serentak di seluruh negara dan di peringkat negeri JASA memilih Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Miri untuk menghantar hamper berkenaan serta limau mandarin,” katanya.

Lukanisman berkata, program itu merupakan salah satu program menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada rakyat dan JASA meneruskannya bersama-sama program lain termasuk Jalinan Kasih, e-Kasih dan banyak lagi.

Turut hadir Pengerusi SUPP Piasau Datuk Sebastian Ting serta pegawai-pegawai perubatan dan kakitangan Hospital Miri.

Advertisement