Anda di sini

KPDNKK Limbang periksa 500 premis perniagaan

Advertisement

PANTAU: Zakaria (dua kiri), Selamat dan anggota penguat kuasa memantau Pasar Tamu Limbang semalam.

LIMBANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Limbang sudah menjalankan pemeriksaan ke atas 500 premis perniagaan di sini dalam Ops Catut sejak operasi dilancarkan pada 15 Januari lalu hingga semalam.

Ketua Cawangan KPDNKK Limbang Zakaria Awang berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiada peniaga mengambil peluang menaikkan harga barang meskipun menjelang pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) April ini.

Katanya, anggota penguat kuasa termasuk Pegawai Pemantau Harga (PPH) meneruskan pemeriksaan di setiap premis.

“Bagaimanapun, hanya satu kes dilaporkan membabitkan kesalahan peniaga menggunakan alat timbang dan sukat tamat tempoh.

“Kita mengambil tindakan termasuk mengenakan kompaun terhadap peniaga terbabit sejumlah RM300 atas kesalahan itu,” katanya di sini semalam.

Ops Catut dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek pada 15 Januari lalu bagi memantau harga barangan dan perkhidmatan di seluruh negara menjelang pelaksanaan GST pada April ini.

Zakaria berkata, pemeriksaan setiap hari ke semua premis perniagaan ditingkatkan terutama pada pelancaran Operasi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baharu Cina ini.

“Kami tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas ke atas peniaga yang menaikkan harga dengan mengeluarkan notis amaran kepada mereka jika harga tidak munasabah,” jelasnya.

“Ops Catut diteruskan sehingga diberitahu dan kementerian memastikan tindakan dilakukan terhadap peniaga mengambil kesempatan semasa pelaksanaan GST,” katanya.

Justeru, beliau mahu orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kenaikan harga barang atau aktiviti gores dan menang dijalankan di mana-mana premis perniagaan.

Mereka yang ingin membuat aduan berhubung isu kenaikan harga barangan boleh menghubungi pihaknya supaya tindakan serta-merta dilakukan oleh penguat kuasa.

Turut hadir pada pelancaran operasi SKHMP Tahun Baharu Cina itu Timbalan Residen Limbang Selamat Jati Yanjah.

 

Advertisement