Anda di sini

Keadaan di Istana Kehakiman terkawal

Advertisement

PUTRAJAYA: Suasana di Istana Kehakiman di sini yang menjadi tumpuan ramai berikutan keputusan kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, secara keseluruhannya terkawal sekalipun terdapat provokasi daripada penyokong ketua pembangkang itu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata tiada insiden keganasan dilaporkan sejak awal pagi sehingga semua mereka terbabit bersurai kira-kira jam 4 petang semalam.

“Hanya satu tangkapan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan (orang berkenaan) dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Istana Kehakiman.

Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitannya meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim, menyampaikan penghakiman itu dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan.

Sebaik hukuman diketahui umum kira-kira jam 2 petang, penyokong Mohd Saiful yang berkumpul di pekarangan pintu hadapan Istana Kehakiman dilihat mula bersurai.

Bagaimanapun, kira-kira 500 penyokong Anwar yang berkumpul sejak jam 6.30 pagi enggan bersurai.

Ketegangan sedikit berlaku sehingga Unit Simpanan Persekutuan (FRU) memberikan amaran sebanyak tiga kali dengan membunyikan loceng.

Anggota FRU kemudian bergerak ke arah penyokong bagi membuka laluan kepada kenderaan polis yang difahamkan membawa Anwar keluar dari bangunan berkenaan. — Bernama

Advertisement