Anda di sini

Thailand tidak pandang enteng Malaysia

Advertisement

MELAKA: Jurulatih Thailand, Sompron Sunyabut menyifatkan Malaysia bukan lawan yang mudah dikalahkan pada perlawanan akhir kategori lelaki Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Istaf Malaysia 2015 di sini hari ini.

Beliau berkata gandingan pemain Malaysia nampak lebih mantap dan berbahaya berbanding pasukan yang menyertai Sukan Asia Ke-17 tahun lepas.

Namun katanya itu bukan bermakna Thailand gentar dengan cabaran Malaysia.

“Saya anggap peluang adalah 50-50, tetapi dengan sokongan penonton tempatan, Malaysia mempunyai kelebihan.

Namun Thailand akan bertarung dan melakukan yang terbaik untuk memenangi kejohanan,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini semalam.

Dalam perlawanan separuh akhir semalam, Thailand mengalahkan Singapura 2-0 (21-13 dan 21-13) dan Malaysia mengalahkan Korea Selatan juga 2-0 (21-11 dan 21-12) untuk layak ke perlawanan akhir.

Sementara itu jurulatih Malaysia Abd Talib Ahmad berkata keserasian dan disiplin tinggi yang ditunjukan pemain negara merupakan faktor utama prestasi cemerlang pasukan Malaysia pada kejohanan ini.

“Namun kita tidak boleh mendabik dada walaupun telah capai sasaran ke perlawanan akhir.

Kita akan lakukan yang terbaik bagi memberikan hadiah juara kejohanan kepada penyokong yang tidak jemu memberikan sokongan kepada kita,” katanya.

Kapten pasukan negara Farhan Adam berkata prestasi pasukan Malaysia agak setara dengan prestasi Thailand dan berharap Malaysia dapat mengekalkan prestasi itu menjelang perlawanan akhir.

“Saya tidak sangka dapat laluan agak mudah ke final bila menang semua perlawanan ‘straight set’.

Tetapi kita tidak boleh leka dengan cabaran Thailand.

Saya harap dapat sokongan berterusan daripada penonton esok untuk memberikan semangat kepada kami menentang Thailand,” katanya.  — Bernama

 

Advertisement