Anda di sini

Sarawak ikat Felda

Advertisement

KEKANG: Pemain Felda United Edward Wilson dihalang pemain Sarawak, Ronny pada aksi perlawanan Liga Super. — Gambar Bernama

Kutip satu mata pada aksi pembukaan Liga Super malam tadi

KUCHING: Sarawak berjaya mencuri satu mata pada aksi pembukaan Liga Super 2015 tatkala terikat 3-3 menentang pasukan berstatus kelab, Felda United di Stadium Selayang, Kuala Lumpur malam tadi.

Skuad Ngap Sayot melakukan kejutan apabila memperolehi gol awal pada minit ke-13 menerusi sentuhan berbisa pemain importnya, Billy Mehmet hasil umpanan cantik daripada Joseph Kalang Tie.

Gol semangat itu ternyata menyaksikan ‘game plan’ serta segala percaturan yang digarapkan oleh ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts tampak mengena.

Namun, pasukan pelawat tersentak dengan gol penyamaan skuad Felda United menerusi sepakan penalti pemain importnya, Bojan Miladinovic pada minit ke-35 setelah pemain Sarawak melakukan kekasaran.

Kedudukan terikat 1-1 sebaik wisel babak pertama permainan ditamatkan oleh pengadil perlawanan.

Babak kedua baharu berusia dua minit, Felda United tangkas melakukan serangan kilat justeru membuahkan jaringan pada minit ke-47 menerusi sentuhan awang importnya, Mekeche Ndumbia.

Walaupun pasukan tuan rumah banyak melakukan asakan, namun semangat kental Ngap Sayot tidak pernah pudar justeru berusaha gigih membalas serangan demi serangan.

Hasilnya minit ke-79, Hairol Mokhtar berjaya menjaringkan gol penyamaan (2-2) setelah melakukan rembatan padu menewaskan penjaga gol Felda United.

Bagaimanapun, Felda United kembali mendahului apabila seorang lagi pemain importnya, Edward Junior Wilson menjaringkan gol ketiga pada minit ke-86.

Namun, hasrat tuan rumah meraikan kemenangan sulung tersekat apabila Mohd Shahrol Saperi menjaringkan gol penyamaan Sarawak pada masa kecederaan sekali gus berkongsi satu mata dengan Felda United.

 

 

Advertisement