Anda di sini

Tertuduh ditangkap polis sejurus dikesan di tepi jalan

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa seorang tertuduh dalam insiden pencerobohan Lahad Datu, ditahan polis sebaik sahaja dikesan di tepi jalan.

Anggota Cawangan Khas Bukit Aman (SB) Sarjan Detektif Raif Kadiran, 49, berkata walaupun tidak dimaklumkan tentang lokasi Al Wazir Osman, beliau dapat mengesan tertuduh antara jam 12.30 tengah hari hingga 1 tengah hari pada 1 Mac, 2013 berdasarkan gambaran bentuk badan yang diberikan kepadanya oleh pegawai Bukit Aman ASP Mohamad Hasnal Jamil.

“ASP Mohamad Hasnal memberitahu saya bahawa suspek (Al Wazir) berada di Kampung Bakau, Semporna.

“Saya diberitahu berkaitan deskripsi ketinggian dan bentuk badan suspek dan dengan bantuan pasukan teknikal (dari SB Bukit Aman), saya terlihat suspek sedang berbual-bual dengan dua lelaki di tepi jalan Kampung Bakau,” katanya.

Saksi pihak pendakwaan ke-64 itu memberi keterangan pada perbicaraan 30 orang yang dituduh melakukan pelbagai kesalahan berkaitan pencerobohan oleh militan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

Raif, yang memandu kereta sewa bersama-sama seorang lagi anggota SB untuk mengesan tertuduh, berkata sebaik ternampak Al Wazir, beliau memberhentikan kereta kira-kira 10 meter darinya sebelum keluar dari kereta dan menghampiri tertuduh.

“Kami memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari SB Bukit Aman dengan menunjukkan kad kuasa polis.

“Saya beritahu suspek bahawa dia akan ditangkap dan dia terus tergamam,” kata beliau.

Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar jika saksi menahan Al Wazir selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis, Raif berkata: “Ya, suspek meronta seolah-olah nak melarikan diri.”

Beliau memberitahu mahkamah bahawa rakannya dapat menarik Al Wazir dari belakang dan pada masa itu, kenderaan lain tiba dengan seorang anggota polis turun dan membantu memberkas Al Wazir.

Sebelum tertuduh dibawa masuk ke dalam kereta sewa Raif, saksi itu berkata beliau mwelakukan pemeriksaan badan ke atas Al Wazir dan menemui telefon bimbit Samsung GTE1080F berwarna hitam dalam kocek kiri seluarnya.

Beliau berkata selepas merampas telefon bimbit itu, Al Wazir kemudian dimasukkan di bahagian belakang tempat duduk kereta dan dibawa ke ibu pejabat polis Semporna.

Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini. — Bernama

Advertisement