Anda di sini

Muhyiddin ucap takziah pemergian Mohammad Azlan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Mohammad Azlan Mat Lazim di atas pemergian bintang paralimpik negara itu setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya di Serdang dekat sini, semalam.

Katanya beliau terkejut dengan pemergian atlet berusia 25 tahun itu, yang mengharumkan nama negara dengan memenangi tiga pingat emas pada Sukan Para Asia Incheon 2014.

“Saya kagum dengan sikap dan kecekalan Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan bersama-sama orang yang beriman. al-Fatihah,” katanya dalam catatan akaun Twitter beliau, semalam.

Muhyiddin berkata beliau mengenali allahyarham Mohammad Azlan pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan awal Januari lepas di mana allahyarham adalah antara penerima Anugerah Maulidur Rasul 1436H/2015. — Bernama

“Saya kenali Allahyarham Mohd Azlan Mat Lazim, atlet paralimpik negara di majlis Anugerah Maulidur Rasul. Saya terkejut dengan berita pemergiannya,” kata beliau yang menyampaikan hadiah pada majlis itu.

Mohammad Azlan dan atlet lompat jauh paralimpik, Farisan Jasna, 25, menunggang motosikal ke tempat riadah sempena cuti hujung minggu sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van pada kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Mohammad Azlan, dari Kemaman, Terengganu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tangan dan kepala manakala Farisan, 24, atlet lompat jauh paralimpik dari Sarawak cedera parah dan kini dirawat di Hospital Serdang.

Farisan pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2013 di Nay Pyi Taw, Myanmar.

Pada temasya Para Asia pada Oktober tahun lepas, Mohammad Azlan menampilkan aksi cemerlang dengan membawa pulang tiga emas menerusi acara 100 meter, 200m dan 400m lelaki dalam kategori kecacatan T38 dan T36. — Bernama

 

Advertisement