Anda di sini

14 pemain galas cabaran negara pada kejohanan kriket Twenty20 di UAE

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Kriket Malaysia (MCA) telah menyenaraikan skuad 14 pemain termasuk lima pemain bermastautin bagi menggalas cabaran negara pada Kejohanan Piala Twenty20 Majlis Kriket Asia (ACC) di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dari 23 hingga 31 Januari ini.

Kesemua lima pemain bermastautin dan berasal dari Pakistan – Hammad Ullah Khan, Khizar Hayat Durrani, Imran Ullah Khan, Hassan Ghulam Muhammad dan Sheikh Nasir Shafiq – dibenarkan mewakili negara ini mengikut perundangan pemastautin ACC.

Pasukan negara dibimbing oleh jurulatih dari Pakistan, Bilal Asad Muhammad Tariq Asad.

Menurut kenyataan MCA hari ini, johan pertandingan di UAE itu akan layak ke pusingan kelayakan Piala Dunia Twenty20 yang dijadual berlangsung di Ireland antara Jun dan Julai ini.

“Skuad negara akan berlepas ke UAE seminggu lebih awal pada Sabtu ini sebagai persiapan menghadapi kejohanan itu,” menurut persatuan itu.

Skuad negara dijadual mengadakan empat perlawanan persahabatan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sana sebelum memulakan cabaran.

Selain Malaysia, negara lain yang mengambil bahagian ialah Kuwait, Maldives, Oman, Arab Saudi dan Singapura.

Malaysia akan membuka kempen dengan menentang Maldives pada 25 Januari dikuti Oman (26 Januari), Arab Saudi (27 Januari), Kuwait (29 Januari) dan Singapura pada 30 Januari.

Setakat ini, empat negara selaku hos pusingan ‘roundrobin’ – Afghanistan, Hong Kong, Nepal dan UAE telah layak ke pusingan kelayakan Piala Dunia Twenty20. — Bernama

Advertisement