Anda di sini

Kerajaan akan kaji pengecualian visa bagi pelancong warga China

Advertisement

KULAIJAYA: Kerajaan akan mengkaji pengecualian visa bagi pelancong warganegara China sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong dari negara itu ke Malaysia.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pengecualian visa terbabit dibincangkan dalam mesyuarat kabinet, semalam.

“Kabinet hari ini sepatutnya membincangkan mengenai pengecualian yuran visa kepada pelancong dari negara China tetapi bila kita (kabinet) mesyuarat, kita merasakan perlu membincangkan isu lebih besar iaitu mengecualikan terus visa untuk pelancong negara China,” katanya kepada pemberita ketika meninjau pusat beli-belah Johor Premium Outlets (JPO), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong.

Nazri berkata, sehubungan itu, kementeriannya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah diarahkan kabinet untuk menyediakan kajian implikasi mengenai pengecualian itu.

Beliau berkata kedua-dua kementerian kemudian perlu membentangkan kajian berkenaan di mesyuarat kabinet yang akan diadakan minggu depan bagi membolehkan kerajaan mengambil langkah seterusnya.

Menurut Nazri, kehadiran pelancong China ke negara ini didapati berkurangan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 berbanding tahun sebelumnya dan perkara itu juga ada disebabkan oleh insiden membabitkan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan MH17 selain penculikan di pantai timur Sabah.

“Perkara ini menyebabkan sasaran jumlah pelancong sebanyak 28 juta dan sasaran pendapatan sebanyak RM76 bilion menerusi TMM 2014 gagal dicapai. Walaupun sasaran tidak berjaya dicapai, jumlah kehadiran pelancong dan pendapatan itu tetap melebihi pencapaian yang dicatat pada tahun 2013,” katanya. — Bernama

Advertisement