Anda di sini

Sasar kelompok lima teratas

Advertisement

Oleh Harry Ilias//

SIDANG MEDIA: Sudarsono (empat kanan) bersama Razali (kanan), Haidel, Abdullah, Abu Bakar, Raymond, Fuad dan Johnny pada sidang media di Kuching semalam.

KUCHING: Sarawak mengulangi misi untuk menamatkan kempen Liga Super 2015 yang akan bermula pada 7 Februari depan dalam kelompok lima tempat teratas.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman berkata beliau optimis skuad Ngap Sayot mampu mencapai misi itu muism ini selepas gagal pada musim lalu.

Beliau juga berharap skuad Sarawak berwajah baharu musim ini dapat memberikan cabaran terbaik untuk memburu trofi berprestij.

“Berdasarkan pencapaian tahun lalu, kita percaya skuad Ngap Sayot kali ini lebih baik dan mampu mencapai sasaran untuk berada dalam kelompok lima pasukan teratas.

“Kita juga berharap skuad Sarawak 2015 dapat memberikan saingan terbaik untuk memburu trofi kali ini,” katanya pada sidang media mengenai persiapan Sarawak menghadapi saingan Liga Super 2015 di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Presiden Datu Mohammad Abu Bakar Marzuki, dua Naib Presiden iaitu Haidel Heli dan Razali Dolhan, Setiausaha Agung Abdullah Julaihi, Pengarah Urusan LEA Group Raymond Sim, jurulatih skuad Piala Presiden dan Piala Belia, Johnny Dominicus dan Fuad Grbesic.

Sudarsono yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, persiapan FAS untuk menghadapi dua lagi kejohanan – Piala Presiden dan Piala Belia juga berjalan dengan lancar.

Piala Belia yang baharu diperkenalkan pada tahun ini akan bermula pada 14 Februari depan dengan penglibatan sebanyak 17 pasukan dari seluruh negara.

Setiap pasukan akan mengharungi sebanyak 16 perlawanan yang akan berlangsung setiap Ahad mengikut sistem liga.

“Kita mengharapkan pasukan belia yang merangkumi pemain-pemain berusia bawah 19 tahun dapat bersaing dengan baik pada kejohanan ini.

“Ini merupakan sebahagian daripada program pembangunan bola sepak kita dengan harapan untuk melahirkan pemain-pemain muda yang dapat diserapkan untuk bermain dalam skuad senior pada kempen Liga Super dan Piala Presiden,” jelasnya.

Pada majlis sama, Sudarsono turut memperkenalkan jurulatih dari Bosnia, Fuad Grbesic yang akan membimbing skuad Piala Belia Sarawak selama dua tahun.

Dalam perkembangan sama, Sudarsono berkata FAS akan melancarkan jersi baharu dan sesi bertemu peminat pada Ahad ini, jam 3 petang di pusat membelibelah City One.

Sarawak akan berlepas ke Kuala Lumpur pada 23 Januari ini untuk mengadakan tiga siri perlawanan persahabatan menentang Selangor PKNS (24 Januari), Negeri Sembilan (27 Januari) dan KL SPA Putrajaya (30 Januari).

Anak-anak buah Robert Alberts akan memulakan kempen Liga Super menentang Felda United pada 7 Februari dengan di laman lawan, Stadium Negeri Kuching.

 

 

Advertisement