Anda di sini

Keputusan pramusim tidak merisaukan Presiden FAS

Advertisement

KUCHING: Keputusan perlawanan pramusim tidak begitu merisaukan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datuk Sudarsono Osman kerana beliau berkeyakinan penuh terhadap kemampuan jurulatih, Robert Alberts untuk memperkemas pasukan itu sebelum bermulanya Liga Super bulan depan.

Sudarsono berkata, Alberts mempunyai masa tiga minggu lagi untuk membina pasukan Sarawak termasuk melalui perlawanan persahabatan dengan PKNS Selangor, Negeri Sembilan dan KL SPA Putrajaya.

“Daripada pengamatan saya, pasukan Sarawak sedang membina momentumnya dari semasa ke semasa.

“Kini terpulanglah kepada Robert (Alberts) untuk mengubah para penyerang menjadi penjaring gol berbahaya dan dengan pengalaman yang dimilikinya, saya percaya beliau dapat memperkemas pasukan Sarawak sebelum perlawanan pembukaan Liga Super menentang Felda United pada 7 Februari depan,” kata Sudarsono mengulas kenyataan Alberts, di sini semalam.

Semalam, Alberts berkata beliau kecewa kerana dua penyerang import iaitu Ryan Griffith dan Billy Mehmet tidak begitu menyengat dalam perlawanan persahabatan antara Sarawak dan Sabah di Stadium Negeri di sini Ahad lalu berkesudahan dengan Sarawak menang tipis 2-1.

Bagaimanapun, Sudarsono yakin pasukan Sarawak mampu mencatat prestasi lebih baik musim ini berbanding musim lalu.

Persiapan kini semakin rancak setelah Sarawak menjalani latihan intensif selama dua minggu dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan di Semenanjung Malaysia. — Bernama

 

Advertisement