Anda di sini

Sukaneka PKMK di Kampung Semilang meriah

Advertisement

AKSI WANITA: Azizah (dua kiri) menunjukkan kemahiran mengelecek bola semasa perlawanan bola sepak wanita menggunakan kain pelikat.

KUCHING: Kegembiraan jelas terukir di wajah penduduk Kampung Semilang di sini selepas menerima lawatan mengejut daripada rombongan Pertubuhan Khidmat Masyarakat Kuching (PKMK) kelmarin.

Lawatan diketuai Pengerusi PKMK, Azizah Ayoob dan penaungnya, Wan Kamal Tuanku Alwi Ibrahim bertujuan menganjurkan Karnival Sukan Rakyat @ Happy Village selama sehari di kampung tersebut.

Pelbagai sukan rakyat dihimpunkan dalam program tersebut sekali gus membawa kemeriahan terhadap penduduk Kampung Semilang.

Acara bermula dengan perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan All Star PKMK dan AJK Kampung Semilang yang berkesudahan pasukan lawan menang dengan jaringan 2-0.

Karnival seterusnya dihangatkan dengan aksi-aksi lucu dan menghiburkan perlawanan bola sepak lelaki dan wanita menggunakan kain pelikat.

Padang Kampung Semilang kian gamat dengan sorakan penduduk yang menyertai acara ‘tangkap basah’, makan roti menggunakan tali, minum air dengan straw dan lari dalam guni.

Dalam ucapannya, Azizah merakamkan penghargaan kepada penduduk Kampung Semilang atas kesudian menjalinkan kerjasama erat dengan PKMK dalam menjayakan karnival tersebut.

“Karnival Happy Village ini bertujuan menyemai rasa kekitaan selain mewujudkan suasana harmoni dan perpaduan kalangan penduduk kampung dengan harapan dapat melahirkan masyarakat berkualiti.

“Selain program seperti ini, PKMK juga turut menghulurkan bantuan kepada penduduk kampung dari segi pendidikan, kesihatan dan khidmat guaman,” katanya.

Wan Kamal seterusnya menyampaikan cenderamata dan hadiah kepada para pemenang.

Program di Kampung Semilang merupakan yang ketujuh dianjurkan oleh PKMK selepas di Tabuan Melayu, Muhibbah, Pinggan Jaya, Muara Tebas, Bako, Senari dan Goebilt.

Karnival Happy Village akan singgah semula di Tabuan Melayu pada 24 Januari ini sebagai lokasi terakhir program tersebut.

Hadir sama Ketua Kaum Kampung Semilang, Pauzi Ameng.

Advertisement