Anda di sini

Persiapan Sarawak menghadapi banjir mencukupi

Advertisement

Oleh Nick Fletcher //

10,000 tentera, 6,000 Askar Wataniah dikerah untuk tugas menyelamat mangsa jika berlaku banjir

SEDIA: Jabu (duduk, dua kanan) memaklumkan pemberita tentang persiapan menghadapi banjir di negeri ini di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, semalam. Turut kelihatan Yahaya (kanan), Morshidi (tiga kiri) dan Stephen (dua kiri).

KUCHING: Seramai 10,000 anggota tentera dan 6,000 Askar Wataniah akan dikerahkan untuk tugas menyelamat mangsa jika berlaku banjir di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata sokongan daripada tentera itu menjadikan jumlah anggota penyelamat daripada pelbagai agensi adalah mencukupi bagi persiapan negeri ini menghadapi banjir.

Antaranya ialah polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan.

“Walaupun Jabatan Meteorologi menjangka tidak akan berlaku banjir serius di negeri ini, tetapi memandangkan musim hujan dijangka berlarutan sehingga Mac maka persiapan rapi perlu dilakukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Taklimat Pengurusan Bencana Banjir Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini semalam.

Manakala Panglima Markas Satu Divisyen Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw menambah bantuan anggota tentera dari Sabah akan turut dikerahkan sekiranya banjir melanda bahagian Lawas dan Limbang.

Dalam pada itu, katanya setakat ini anggota-anggota Askar Wataniah juga sudah ditempatkan di beberapa kawasan yang dijangka dilanda banjir.

Jabu kemudian berkata sebanyak 600 pusat pemindahan sudah dikenal pasti selain beberapa pangkalan hadapan di kawasan-kawasan strategik di setiap daerah di negeri ini untuk menyimpan bekalan makanan dan keperluan lain.

“Sebanyak 180 pembekal makanan dan barang  keperluan lain juga sudah dilantik di seluruh negeri bagi membekalkan bahan tersebut kepada mangsa banjir di pusat pemindahan melalui pangkalan hadapan,” katanya.

Selain itu, Jabu berkata pihaknya juga akan membekalkan jaket keselamatan di kesemua 31 daerah di seluruh negeri ini secepat mungkin untuk kegunaan pihak sukarela yang membantu dalam usaha menyelamat mangsa banjir.

Sementara, taklimat pengurusan bencana negeri Sarawak semalam telah diadakan khas kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) di Sarawak.

Taklimat yang diberikan meliputi perkara-perkara seperti mekanisme pengurusan bencana, struktur pengurusan bencana dan kesiapsiagaan aset serta anggota dalam tindak balas pengurusan bencana di Sarawak.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin.

Advertisement